Sabah rugi lebih RM450 juta akibat kecurian air, elektrik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dan agensi berkaitan mengalami kerugian lebih RM450 juta akibat kecurian bekalan air dan elektrik sejak 2010 hingga kini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) berkata, daripada jumlah itu RM342 juta adalah kerugian akibat penyambungan bekalan air secara haram, manakala selebihnya melibatkan kecurian bekalan elektrik.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata, kecurian bekalan elektrik pula melibatkan penyambungan haram elektrik terutama kawasan setinggan dengan kerugian RM90 juta manakala 3,408 kes usikan meter elektrik dikesan melibatkan kerugian RM24.7 juta.

"Bayangkan duit ini jika dikumpul apa boleh kita lakukan untuk rakyat... rakyat Sabah berhak dapatkan bekalan air yang bersih dan elektrik secara konsisten, beri saya lima tahun di kementerian (Kerja Raya) saya akan selesaikan masalah ini.

"Ini (penyambungan haram) tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengganggu bekalan air dan elektrik untuk rakyat secara keseluruhan," katanya menjawab soalan lisan Dr Aliakbar Gulasan (ADUN dilantik) yang bertanya mengenai jumlah kerugian akibat kecurian bekalan itu dan langkah diambil bagi mengatasinya.

Bung Moktar berkata, bagi mengatasi masalah kecurian air, Jabatan Air Negeri Sabah menguatkuasakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Bekalan Air 2003 antaranya pemotongan sambungan haram secara bersepadu, mengenakan kompaun dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah kecurian bekalan elektrik, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjalankan pendekatan pemotongan sambungan haram, kempen kesedaran awam dan membekal elektrik dengan kaedah bekalan pukal melalui pengedar kuasa bebas (IPD) seperti di Sandakan dan Labuan.

"Bagi membendung kes usikan meter, SESB juga telah mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mengekang aktiviti dalang yang menawarkan perkhidmatan pengusikan meter dan mengadakan kerjasama dengan media tempatan untuk program kesedaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan meter secara rutin bagi pengguna tenaga biasa dan pengguna tenaga dalam jumlah yang besar juga dilaksanakan selain menjalankan operasi serbuan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Penyelesaian Laporan Ketidakaturan dan Laporan Luar Biasa yang dilaporkan," katanya. - Bernama