Permohonan kenaikan gaji anggota PDRM dikemukakan September 2019

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan mengenai kenaikan gaji dan elaun pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikemukakan kepada kerajaan pada 17 September tahun lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh mengenai perkara itu bagi memastikan kenaikan itu meliputi semua skim perkhidmatan PDRM.

“Kami (Kementerian Dalam Negeri - KDN) memang sentiasa mengambil berat kebajikan dan tangga gaji kakitangan PDRM sejajar dengan tugas mereka menjaga keselamatan serta memastikan keamanan dan ketenteraman awam negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Kamarudin Abdun mengenai jaminan kerajaan bagi menaikkan kadar gaji pegawai dan anggota PDRM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Ismail berkata, walaupun isu kenaikan gaji belum diputuskan, kerajaan telah menaikkan kadar imbuhan tetap perumahan PDRM antara RM20 dan RM145 sebulan berdasarkan kepada gred pegawai dan anggota.

Beliau berkata, bayaran insentif mengikut lokasi tahap kesusahan PDRM juga dinaikkan daripada RM500 hingga RM1,500 sebulan berdasarkan kategori pedalaman kepada pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan pedalaman.

Menjawab soalan tambahan Kamarudin mengenai kebajikan pasukan keselamatan negara itu, Ismail berkata, mana-mana anggota yang terlibat dalam kemalangan atau kematian akan menerima imbuhan sejajar melalui Tabung Amanah Perwira di bawah seliaan KDN.

Bahkan katanya, terdapat juga Tabung Amanah Warisan yang disediakan kepada pesara dengan lima kategori bantuan iaitu khairat kematian, bantuan pergerakan, perubatan pesakit terlantar, pendidikan dan bencana alam.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mengenai keperluan anggota PDRM secara keseluruhan sentiasa dilakukan bagi memastikan kebajikan mereka terbela,” kata Ismail. - Bernama