Alliance Bank perkenal 22 finalis BizSmart Challenge

Joel Kornreich
Joel Kornreich
A
A
A

ALLIANCE Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) memperkenalkan 22 orang finalis Alliance Bank-EcoWorld BizSmart Challenge 2020 (BizSmart Challenge) yang disenarai pendek daripada lebih 500 penyertaan diterima.

BizSmart Challenge yang bermula pada tahun 2013 dan kini memasuki musim keenam, menyediakan latihan perniagaan, tunjuk ajar, mentor, rangkaian, pendedahan jenama dan pembiayaan kepada pemilik perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank dan hakim BizSmart Challenge, Joel Kornreich berkata, sehingga kini, cabaran itu menerima lebih daripada 1,700 penyertaan dan telah memperkasakan ratusan pemilik perniagaan dalam pendakian keusahawanan mereka.

Menurutnya, cabaran itu membantu mengembangkan perniagaan alumninya termasuk jenama-jenama terkenal seperti ChristyNg Shoes, myBurgerLab, Amazin’ Graze, Biji-Biji Initiative, NutriBrownRice dan Signature Market.

"Para finalis pada tahun ini datang daripada pelbagai industri yang berbeza seperti makanan dan minuman, kecantikan, penjagaan kesihatan, fesyen, pendidikan serta entoteknologi.

"Mereka adalah AOne, Berau by Benak Raya, Betsol, Diva Scarf, Enya, Heal Nutrition, Hijab for Traveller, Lips Carpenter, Me Books, MOOIT, Mosaic Art Studio, Mu Artisan Soy Sauce, Narinar, Ning Salmah, Optastar Protein Industries (OPI), Parcel 365, Pops Malaya, PotonGuler, REQA, The Food Incubator, VANZO, dan Wise Crafters," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, BizSmart Challenge tahun ini menyediakan bantuan praktikal dan segera yang merangkumi sokongan kewangan dan bukan kewangan.

Katanya, program sementara itu mempunyai tiga teras sokongan iaitu Pendanaan dan Nasihat Kewangan, Pemasaran dan Kesedaran Jenama serta Sokongan Perniagaan dan Rangkaian.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan pengalaman kami semasa memberi perkhidmatan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengalaman daripada alumni BizSmart Challenge, kami tahu bahawa usahawan muda berdepan dengan pelbagai cabaran seperti mendapatkan pendanaan yang cukup, akses kepada khidmat nasihat dan sokongan pemasaran. Keadaan sekarang menambahkan lagi kerumitan kepada usahawan muda,” katanya.

Kornreich berkata, bank telah mula menyediakan pinjaman perniagaan kepada para finalis dan menyesuaikan nasihat kewangan bagi membantu mereka bukan sahaja mengharungi krisis semasa malah muncul dengan lebih kukuh lagi selepas ini.

Katanya, Alliance Bank menggunakan bajet pemasarannya untuk meningkatkan kunjungan dalam talian ke laman web finalis menerusi pengiklanan dan pemasaran digital.

Menurutnya, sebelum ini, Alliance Bank menyediakan sokongan pemasaran digital yang serupa melalui inisiatif #SupportLokal untuk membantu perniagaan tempatan.

Beliau berkata, inisiatif #SupportLokal telah menjangkau lebih tujuh juta orang di Malaysia dalam talian dan menjana lebih 50,000 kunjungan ke laman web perniagaan tempatan.

Katanya, bank akan turut membantu para finalis mendapatkan pensijilan halal menerusi program Halal-in-One Alliance Islamic Bank.

"Program ini membolehkan mereka menembusi segmen pasaran halal yang sedang pesat berkembang. Bank akan menyediakan panduan dalam bentuk sesi audit persediaan, latihan halal dan juga pemasaran.

"Bank juga akan menyenaraikan para finalis dalam portal BizSmart Solution. Portal satu hentian ini adalah sebuah komuniti perniagaan yang membolehkan pemilik perniagaan bertemu dengan pelanggan baharu dan mengakses penyelesaian dan sumber yang relevan bagi menguruskan perniagaan mereka dengan lebih cekap lagi," katanya.

Bank telah menganjurkan beberapa sesi perangkaian dan webinar eksklusif untuk para finalis berkongsi serta bertukar idea perniagaan yang bernas.

Sesi perangkaian dan webinar eksklusif ini disertai oleh alumni daripada Cabaran terdahulu, para mentor serta pemimpin industri seperti Tan Sri Liew Kee Sin, Pengerusi Eco World Development Group Berhad, Malek Ali, Pengasas BFM89.9 dan Ernest Kwong, Ketua Pegawai Perbankan PKS Kumpulan Alliance Bank.

“Kualiti idea dan inovasi perniagaan yang dihantar pada tahun ini menjadi penanda yang jelas kepada semangat keusahawanan yang semakin berkembang di Malaysia. Kami percaya para pemilik perniagaan ini akan dapat mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka dengan sokongan tambahan yang kami sediakan,” kata Kornreich.

Sementara itu, hakim BizSmart Challenge, Kee Sin berkata, daya kreativiti dan ketabahan para usahawan muda negara ini yang ditemuinya dalam BizSmart Challenge membuatkan beliau begitu kagum.

"Saya berasa bangga dengan pencapaian sesetengah alumni dan usaha gigih mereka yang telah membolehkan mereka membina perniagaan yang kukuh dan masih berdiri teguh sehingga hari ini,” katanya.

Kee Sin berkata, beliau yakin dengan panduan yang diberikan oleh para mentor dan peluang-peluang perangkaian yang disediakan oleh BizSmart Challenge, para peserta kali ini akan dilengkapi dengan kelebihan bukan sahaja untuk menangani krisis malah untuk berkembang pada tahun-tahun yang akan datang.