Harga siling benih padi sah tahun depan

Ronald (empat dari kiri) bersama wakil-wakil agensi di bawah kementeriannya yang menghadiri Majlis Program Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang Selangor di Pusat Belian Padi, Tali Air 3 Ban, Sawah Sempadan pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ronald (empat dari kiri) bersama wakil-wakil agensi di bawah kementeriannya yang menghadiri Majlis Program Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang Selangor di Pusat Belian Padi, Tali Air 3 Ban, Sawah Sempadan pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperkenalkan harga siling benih padi sah pada paras tidak melebihi RM35 bagi 20 kilogram (kg) berkuat kuasa musim tanaman pertama Januari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dilantik sebagai pemborong tunggal di bawah program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) untuk membuat pembekalan terus kepada pesawah.

Menurutnya, mekanisma IBPS itu dapat memberi manfaat kepada seramai 320,000 pesawah di seluruh Semenanjung Malaysia selain menyelesaikan masalah manipulasi dalam pembekalan benih padi sah.

“Kita sedia maklum setiap musim (tanaman padi) berlaku isu kelewatan penghantaran benih padi dan harga dibeli pesawah tidak dikawal sehingga dijual RM60 setiap 20kg benih padi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Program Agihan Benih Padi Sah dan Ziarah Peladang Selangor di Pusat Belian Padi, Tali Air 3 Ban, Sawah Sempadan di sini pada Selasa.

Ronald berkata, kementeriannya juga akan membuka peluang kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam penghasilan benih padi sah termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

“Lesen dan permit akan diberikan kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan.

“Selain itu, kementerian melaksanakan inisiatif lain antaranya penetapan beberapa varieti benih padi sah yang akan dihasilkan syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih pesawah dan menyediakan stok penimbal bagi menangani isu kekurangan bekalan,” katanya.

Justeru katanya, inisiatif yang diambil itu akan sentiasa dipantau bagi menangani isu manipulasi pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan memastikan kepentingan pesawah diambil perhatian serius dan meningkatkan pendapatan mereka secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 72,000 tan metrik benih padi diperlukan bagi dua musim penanaman setahun di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia.

“Jumlah ini berdasarkan kepada anggaran keperluan benih padi sebanyak 140kg sehektar,” katanya.

Mengulas mengenai rungutan pesawah berhubung pemotongan pemutuan padi melebihi 20 peratus yang dianggap terlalu tinggi, Ronald berkata, kaedah pemutuan sebenar melalui prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan kerajaan bagi menyelesaikan isu kadar potongan yang dikenakan dalam pemutuan padi.

Ronald menerbangkan dron yang digunakan bagi kerja semburan racun dan baja cecair ketika lawatan kerjanya di Sawah Sempadan Tanjong Karang pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ronald menerbangkan dron yang digunakan bagi kerja semburan racun dan baja cecair ketika lawatan kerjanya di Sawah Sempadan Tanjong Karang pada Selasa. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Pemotongan pemutuan padi berbeza di negeri lain dan isu ini bukan sekali berlaku tetapi berulang pada setiap musim tanaman padi.

“SOP ini bagi memastikan padi dijual adalah padi bersih dan berkualiti serta dapat memastikan kerajaan tidak membayar Subsidi Harga Padi berdasarkan padi kasar yang mengandungi segala komponen tidak diingini, sekali gus mengelakkan ketirisan pembayaran subsidi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Dr Anis Mahmud berkata, Nafas sudah bersedia menjadi pemborong tunggal bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah pada harga maksimum RM35 setiap 20kg.

Katanya, pihaknya akan membeli bekalan benih padi kepada 10 syarikat berlesen yang telah dikenal pasti untuk dibekalkan kepada pesawah pada musim tanaman kali ini.

“Sebanyak 36,000 benih padi dijangka akan dibekalkan di seluruh Semenanjung pada musim tanaman pertama,” katanya.

Pesawah Blok H Sawah Sempadan, Amri Adam, 47, berkata, penetapan harga siling benih padi sah amat dinanti pesawah kerana sebelum ini mereka terpaksa membeli pada harga jauh lebih tinggi dan membebankan.

Pesawah, Blok K Sawah Sempadan, Abdul Razak Mat Ajir, 73, pula berkata, sebelum ini harga benih padi sah pernah mencecah RM70 bagi 20kg dan langkah kerajaan memperkenalkan harga siling RM35 setiap 20kg melegakan pesawah terutama dengan masalah pemotongan pemutuan padi tinggi dan sawah diserang penyakit.