Anggota tentera maut tak sempat elak lori

Anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tunda di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini, petang Selasa.
Anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tunda di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini, petang Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Seorang anggota tentera maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lori tunda dalam kejadian di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini, pada petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mohd Hairie Mohd Shah, 22, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 maut di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota tentera yang membonceng motosikal berkenaan, Benedict Anak Johnson, 25, luka di kepala, muka dan tangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua anggota tentera itu dalam perjalanan dari Cheng manakala lori berkenaan dari arah Kampung Bertam Ulu menghala ke Ayer Keroh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati setibanya di lampu isyarat Taman Paya Emas, lori tersebut membelok ke kanan untuk menuju ke Ayer Keroh, namun motosikal ditunggang dua anggota tentera itu yang datang dari arah Cheng tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tersebut.

“Impak kemalangan menyebabkan penunggang motosikal cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya cedera.

"Pemandu lori berusia 25 tahun tidak cedera dan telah diambil sampel darah bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol serta dadah," katanya.

Tambah Afzanizar, bagaimanapun, sehingga kini tiada saksi bebas yang tampil memberikan maklumat mengenai punca kemalangan dan beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk berkongsi maklumat bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan: