MBPJ hargai peranan komuniti bangunkan Petaling Jaya

Tiga wakil komuniti yang memenangi hadiah utama selepas majlis penganugerahan di Bangunan PJ Smart Center, Petaling Jaya pada Selasa.
Tiga wakil komuniti yang memenangi hadiah utama selepas majlis penganugerahan di Bangunan PJ Smart Center, Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 19 komuniti terdiri daripada persatuan penduduk dan Rukun Tetangga diumumkan sebagai penerima Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020.

Persatuan Penduduk Pemilik dan Penduduk Damansara Idaman (Diora) telah dinobatkan sebagai pemenang dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000.

Tempat kedua pula diraih Persatuan Penduduk Bandar Sri Damansara, manakala tempat ketiga dimenangi Persatuan Penduduk Bayu Damansara yang menyaksikan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan RM25,000.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, sepanjang penganjuran program itu selama hampir 20 tahun, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya melahirkan 63 juara dalam kalangan komuniti persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meliputi sebanyak 4,270 bilangan projek.

“Pencapaian ini telah memberi sumbangan kepada kejayaan Petaling Jaya mencapai status ‘Bandar Paling Lestari di Malaysia’ berdasarkan indeks pelaksanaan Petunjuk Bandar Mampan (MURNInet).

“Pencapaian ini juga menjadi pengakhiran yang baik buat MBPJ dan seluruh warga Petaling Jaya bagi tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2020 di Bangunan PJ Smart Center di sini pada Selasa.

Katanya, format anugerah pada tahun ini mengambil kira penggunaan elemen ‘Internet of Things’ (IoT) dan teknologi pintar untuk setiap projek bagi tujuan pengumpulan data dan perancangan pada masa hadapan.

Menurutnya, data-data yang disediakan secara digital itu dapat dikongsi bersama MBPJ bagi membolehkan perancangan dasar atau projek ke arah bandar raya pintar secara lebih efektif.

Artikel Berkaitan:

“Komuniti mula menerapkan teknologi pintar dalam projek dikemukakan oleh mereka. Ini adalah sesuatu yang memberangsangkan serta menunjukkan perkembangan positif ke arah pencapaian ‘Society 5.0 PJ’ yang dihasratkan MBPJ,” katanya.