Istana lama Kedah yang usang wajar dipulihara

Suhaidi (dua dari kiri) dan Mohamad Abdullah@Don (dua dari kanan) bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum Ppersefahaman antara UiTM Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Muzium Negeri Kedah di Alor Setar pada Selasa.
Suhaidi (dua dari kiri) dan Mohamad Abdullah@Don (dua dari kanan) bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum Ppersefahaman antara UiTM Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Muzium Negeri Kedah di Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Istana lama di Kedah iaitu Istana Sepachendera dan Istana Tunku Kudin wajar dipulihara untuk kesinambungan sejarah serta tatapan generasi akan datang agar tidak ditenggelami oleh arus pembangunan.

Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri berkata, pemuliharaan Istana Sepachendera yang terletak di Jalan Kampung Baru, tengah-tengah bandar raya Alor Setar sedang diusahakan kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

Dalam masa sama, katanya, kaedah yang terbaik perlu direncanakan kerana pihak muzium belum diberikan dana khas bagi tujuan pemuliharaan tersebut.

"Bagi Istana Tunku Kudin di Bukit Pinang pula, kita ada berbincang dengan Majlis Perbandaran Kubang Pasu untuk pembersihan agar kawasan sekitarnya tidak semak seperti sekarang. Mereka bersetuju dan sedang menunggu tarikh yang sesuai.

"Bagi usaha pemuliharaan ini, kita menggunakan dana sedia ada sahaja untuk penjagaan persekitaran," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Muzium Negeri Kedah di sini pada Selasa.

Istana Sepachendera
Istana Sepachendera

Hadir sama, Rektor UiTM Kedah, Profesor Dr Mohamad Abdullah@Don Hemdi.

Suhaidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan Istana Sepachendera dan Istana Tengku Kudin yang terbiar usang ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, tapak-tapak istana berkenaan perlu dipertahankan, malah beliau berharap peninggalan sejarah akan diambil kira sebelum sebarang bentuk pembangunan dilakukan oleh kerajaan atau pihak swasta.

"Berhubung khabar angin bahawa Istana Sepachendera akan dirobohkan, kami tidak mempunyai sebarang maklumat tentang perkara tersebut," katanya.

Istana Tunku Kudin
Istana Tunku Kudin

Mengikut sejarah, Istana Sepachendera telah dibina Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah ketika era pentadbirannya pada tahun 1882 hingga 1943.

Pembinaannya adalah untuk isterinya, Che Sepachendera yang dikatakan berasal dari Siam.

Difahamkan, pembinaan istana tersebut telah menggunakan sejumlah manisan lebah dan putih telur yang dicampur bancuhan simen bagi menguatkan lagi struktur dinding bangunan istana berkenaan.

Istana Tunku Kudin pula adalah kepunyaan Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Tunku Kudin iaitu Raja Muda Kedah ketika pemerintahan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada tahun 1854 hingga 1879.

Istana tersebut dibina Tunku Kudin selepas dipecat oleh abangnya kerana campur tangan dalam hal ehwal negeri Selangor dalam Perang Saudara Selangor pada tahun 1867.