X

Kindly register in order to view this article
!

India-Pakistan berbalah serangan di Kashmir

Gambar fail menunjukkan tentera Pakistan mengawal di Garisan Kawalan iaitu sempadan negara itu dengan India di Chakothi, wilayah Kashmir pada 29 Ogos tahun lalu. - Foto AFP
A
A

INDIA dan Pakistan yang sekian lama berseteru kini berdepan dengan perbalahan diplomatik terbaharu sehingga menyebabkan hubungan antara kedua-dua buah negara semakin tegang pada minggu lalu.

Perbalahan tersebut dikatakan berlaku apabila Pakistan menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres di New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang menuduh India menaja keganasan di negara jirannya itu.

Namun pada 25 November lalu, akhbar The Hindustan Times melaporkan selepas Islamabad menyerahkan dokumen itu, New Delhi tidak berdiam diri sebaliknya mendakwa dokumen yang diserahkan itu penuh dengan penipuan.

Pakistan didakwa menyerahkan dokumen itu kepada Guterres sehari selepas New Delhi menghantar satu dokumen kepada anggota-anggota Majlis Keselamatan PBB berhubung satu kejadian keganasan yang cuba dilakukan oleh empat anggota sebuah pertubuhan pengganas di Jammu dan Kashmir.

Empat individu itu didakwa bersekutu dengan Jaish-e-Mohammad (JeM) iaitu sebuah pertubuhan yang dilabelkan oleh PBB dan berpangkalan di Pakistan.

Pada 19 November lalu, empat anggota pertubuhan itu terbunuh dan dua pegawai polis cedera dalam satu pertempuran senjata di bandar Nagota di Jammu dan Kashmir yang berlaku selepas sebuah trak dipintas pihak berkuasa dalam satu pemeriksaan harian di sebelah pagi.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Zon Jammu, Mukesh Singh seperti dilaporkan The Hindustan Times, anggota pertubuhan itu mungkin merancang satu serangan besar dan menyasarkan serangan semasa pilihan raya Majlis Pembangunan Daerah (DDC) berlangsung di wilayah berkenaan.

Anggota pertubuhan itu juga dikatakan menyusup masuk ke India melalui sebuah terowong sejauh 150 meter.

Setiausaha Luar India, Harsh Vardhan Shringla juga dilaporkan pernah memberikan taklimat kepada sekumpulan duta-duta dan ketua perwakilan asing yang terpilih di New Delhi tentang peranan Pakistan dalam merancang serangan tetapi berjaya digagalkan oleh pasukan keselamatan India.

Sumber-sumber menyatakan, mereka juga diberikan taklimat mengenai bagaimana anggota pertubuhan tersebut memasuki India selepas sebuah terowong bawah tanah ditemui di daerah Samba di wilayah Jammu dan Kashmir yang dikuasai India.

Gambar fail menunjukkan beberapa anggota tentera India mengawal wilayah Kashmir yang dikuasai negara itu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan beberapa anggota tentera India mengawal wilayah Kashmir yang dikuasai negara itu. - Foto AFP

Duta-duta asing dan ketua-ketua perwakilan itu menyediakan satu maklumat terperinci tentang kejadian tersebut termasuk senarai peluru dan barang-barang yang ditemui para pengganas-pengganas tersebut yang jelas menunjukkan mereka merupakan keturunan Pakistan.

Perbalahan antara kedua-dua negara tidak hanya berkisar kepada dokumen berkaitan serangan itu sahaja.

Menteri Luar Pakistan, Mahmoud Qureshi pula dilaporkan berkata seperti laporan portal India TV pada 18 Disember lalu bahawa beliau mempunyai maklumat yang berwibawa bahawa India merancang satu serangan tentera di Pakistan.

Pendedahan itu dibuat semasa satu sidang akhbar di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 18 Disember lalu bahawa beliau mengetahui perkara tersebut melalui maklumat daripada pasukan perisikan negaranya.

Menurut portal berita The Dawn dengan memetik sumber yang menyatakan bahawa Tentera Pakistan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tentang kemungkinan satu serangan dilakukan oleh tentera India.

Sebelum ini India melancarkan serangan tentera bagi menghapuskan kem-kem didakwa berkaitan keganasan di wilayah Kashmir diduduki Pakistan pada September 2016 yang menyebabkan 38 pengganas terbunuh.

Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap satu serangan yang dilakukan di sebuah pangkalan tentera di Uri, Jammu dan Kashmir pada awal bulan

September 2016 sehingga mengakibatkan 19 askar India terbunuh.

Serangan itu dilakukan oleh penyerang yang didakwa mendapat sokongan Pakistan.

Ketegangan antara kedua-dua buah negara kuasa nuklear tersebut semakin meningkat selepas India membuat keputusan untuk memansuhkan status autonomi di sebahagian wilayah Kasmir yang dikuasainya itu pada tahun lalu. - Agensi

Pakistan dikatakan menyerah dokumen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York yang menuduh India menaja keganasan di negaranya. - Foto AFP
Pakistan dikatakan menyerah dokumen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York yang menuduh India menaja keganasan di negaranya. - Foto AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!