Kelantan FC lunas tunggakan gaji Abou Bakr berjumlah RM969,283

Penyerang import dari Lubnan itu beraksi bersama Kelantan pada tahun 2017 bagi mengisi kekosongan posisi penyerang.
Penyerang import dari Lubnan itu beraksi bersama Kelantan pada tahun 2017 bagi mengisi kekosongan posisi penyerang.
A
A
A

KELAB Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) sudah melunaskan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import skuad The Red Warriors (TRW), Abou Bakr Al Mel.

Penasihat Undang-Undang Kelantan FC, Shairuz Sheffie berkata, sejumlah RM969,283 telah dibayar kepada bekas penyerang import dari Lubnan itu dalam dua kali pembayaran iaitu pada 15 Oktober dan 17 Disember lepas.

“Kelantan FC ingin mengumumkan bahawa kami telah berjaya melunaskan pembayaran hutang tertunggak sebanyak AS$233,000 (RM969,283) kepada Abou Bakr.

“Hutang itu dibayar dalam dua bahagian iaitu AS$133,000 (15 Oktober) dan AS$100,000 (17 Disember) kepada Peguamcara, Eleven & Law,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi pasukan itu pada Selasa.

Abou Bakr beraksi bersama Kelantan pada tahun 2017 bagi mengisi kekosongan posisi penyerang ditinggalkan bekas pemain import pasukan itu, Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

Pada Isnin, Kelantan FC juga dilaporkan telah melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji bekas pemain import dari Brazil iaitu Cassio Francisco dengan sejumlah RM679,263.20. - Bernama

Artikel Berkaitan: