Sindiket Macau Scam, judi dalam talian tumpas

Antara individu yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian di sebuah residen di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara individu yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti perjudian di sebuah residen di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga lelaki warga China ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pelaburan Macau Scam di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua lelaki berusia 28 hingga 34 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, kita merampas 40 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer pelbagai jenama, mata wang China berjumlah 1,168 Yuen dan wang tunai berjumlah RM5,011," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohamad Zainal berkata, kesemua individu itu ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat.

"Kesemua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seramai lapan individu ditahan pada hari sama kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian.

"Dalam serbuan pertama, seorang lelaki warga China berusia 35 tahun ditahan di sebuah residen di Jalan Conlay di sini pada jam 5.30 petang," katanya.

Menurutnya, polis merampas 13 unit telefon bimbit dan lima unit komputer riba pelbagai jenama.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu juga direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]," katanya.

Beliau berkata, setengah jam kemudian, seramai tujuh individu termasuk empat wanita berusia 21 hingga 33 tahun pula telah ditahan.

"Kita turut merampas 112 keping daun terup, empat helaian kertas catitan perjudian, dua keping kad akses, satu unit lampu mini disko, satu unit pembesar suara dan wang tunai RM23,200," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek itu direman dua hari bermula Selasa hingga esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289] dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]," katanya.