Ragam manusia hadapi musim banjir

No Image Caption
A
A
A

MUSIM tengkujuh yang sedang melanda negara kini khususnya di kawasan pantai timur sudah tentu memberi kesan besar buat penduduk yang terlibat kerana sebelum ini pergerakan serta aktiviti harian sudah terbatas disebabkan pandemik Covid-19 dan kini bertambah satu lagi cabaran untuk menghadapinya serentak pada musim banjir kali ini.

Mahu tidak mahu, ia perlu diharungi kerana mereka tidak punya pilihan walaupun terpaksa berada di pusat penempatan sementara dalam jumlah yang ramai, apa lagi yang boleh dilakukan selain bertawakal, sentiasa berwaspada dan paling penting mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan tiada penularan jangkitan wabak itu berlaku.

Namun, di sebalik cabaran itu, pelbagai ragam dan cerita menarik juga kedengaran apabila ada yang memanfaatkan musim banjir itu dengan cara mereka tersendiri.

Ada yang masih kekal berada di rumah kerana paras air yang naik tidak terlalu tinggi dan masih selamat untuk mereka berada di kediaman masing-masing serta kawasan sekitar untuk terus menjalankan aktiviti harian.

Umpamanya di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang Kelantan dan di Kemaman, Terengganu ada peniaga roti canai yang tetap meneruskan perniagaan mereka seperti biasa walaupun terpaksa memasak dan menebar roti canai dalam banjir.

Malah lebih menarik, masih ramai pelanggan mereka yang datang ke kedai dan semuanya dilaporkan begitu seronok untuk menikmati makanan walaupun terpaksa berendam kaki dalam air, di samping terus mengikut SOP untuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan fizikal.

Rezeki

Di Kuala Krai, Kelantan pula terdapat sesetengah penduduk yang membeli bot sebagai persediaan menghadapi banjir bagi memudahkan pergerakan sekiranya air naik mendadak, malah mereka turut memanfaatkan bot tersebut untuk pergi memukat ikan yang hanya terletak di belakang rumah.

Artikel Berkaitan:

Rezeki banjir, hasil ikan yang diperoleh luar biasa dan dapat menjadi stok santapan sekeluarga untuk beberapa hari.

Selain itu, ada juga pasangan pengantin yang terpaksa meraikan hari bahagia mereka pada musim banjir ini.Ada yang terpaksa meredah banjir dengan memakai busana yang cantik, menaiki bot dan kereta pacuan empat roda untuk ke masjid, ada pula yang dilaporkan sudah dua kali memasang dan memindahkan pelamin tetapi disebabkan air masuk ke dalam rumah hasrat untuk bersanding terpaksa dilupakan.

Terdapat juga cerita pengantin yang terpaksa menata rias muka sendiri dan mengambil gambar perkahwinan sendiri kerana jurusolek dan jurugambar ditempah tidak dapat hadir akibat kekangan banjir.

Namun rata-rata ‘pengantin banjir’ ini dilaporkan reda dengan ketentuan yang berlaku pada hari bahagia mereka dan menerimanya sebagai satu pengalaman yang indah untuk dikenang kemudian hari.

Dalam pada itu, ada juga berita kurang menyeronokkan dilapor di media sosial dan khbar apabila ramai juga yang menjadikan banjir sebagai tempat untuk berpesta air.

Ada yang sanggup membawa keluarga mandi lengkap dengan memakai pelbagai jenis pelampung seolah-olah pergi ke taman tema air, malah ada juga yang mengambil kesempatan berniaga bagi menarik lebih ramai untuk datang berkunjung dan bermain air.

Walaupun ada yang mendakwa keadaan itu tidak berbahaya kerana paras air hanya setakat lutut, tetapi harus diingat kita masih berada dalam fasa pandemik Covid-19.

Jangan lupa, pihak berkuasa khususnya bomba sering mengingatkan agar masyarakat tidak bersukaria bermain banjir dan elakkan ‘pesta air’ kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini termasuk penularan jangkitan penyakit serta ancaman haiwan berbisa.

Ingat, musibah banjir bukan untuk kita berseronok-seronok tetapi perlu diharungi dengan hati-hati.

Jika ada yang memperoleh rezeki atau manfaat daripada banjir, itu sesuatu yang harus disyukuri tetapi jangan sesekali mendedahkan diri kepada bahaya.

Jaga diri pada musim banjir ini dan terus patuhi SOP bagi mencegah penularan Covid-19.

* Hasniza Hussain ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional