FAM komited pastikan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif telus

Abdullah (kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM.
FOTO: FB FAM
Abdullah (kanan) bersama Ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM. FOTO: FB FAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diwujudkan demi membuktikan ketelusan serta integriti dalam proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025, kata pengerusinya, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Menurut kenyataan FAM, penubuhan jawatankuasa yang diluluskan pada Kongres Tahunan persatuan 29 Ogos lepas adalah visi Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan badan induk bola sepak negara itu mempunyai proses lebih telus dan beretika menjelang pemilihan FAM akan datang.

Pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu semalam, telah membincangkan mengenai tugas dan tanggungjawab jawatankuasa berkenaan menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres FAM kali ke-57 yang akan diadakan tahun hadapan.

"Saya difahamkan FAM adalah persatuan sukan kebangsaan pertama di negara ini yang mempunyai Kod Pemilihan tersendiri. Saya dan ahli-ahli jawatankuasa menghargai usaha dilakukan FAM bagi menjadikan proses pemilihan nanti lebih sistematik dan telus," menurut Abdullah.

Selain Abdullah selaku pengerusi, ahli Jawatankuasa Pemilihan FAM terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ab Jalil Abdullah; bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Kedah, Salleh Ramli dan Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Fong Wan Hor.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selaku setiausaha jawatankuasa pemilihan itu.

Sementara itu, Stuart berkata, langkah FAM mewujudkan jawatankuasa pemilihan penting untuk menunjukkan kepada ahli-ahli gabungan bahawa FAM sentiasa ke hadapan dalam menambah baik proses pemilihan bagi memastikan ia memenuhi keperluan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Jawatankuasa Pemilihan FAM adalah jawatankuasa bebas yang tidak melibatkan individu dalam kalangan ahli gabungan FAM dan keluarga bola sepak untuk mengendalikan proses pemilihan dengan merujuk kepada Kod Pemilihan dan Statut FAM. - Bernama

Artikel Berkaitan: