Peniaga diberi amaran jangan naikkan harga bawang

Adnan (kanan) ketika melakukan pemeriksaan harga barangan terkawal di Pantai Timor Hypermarket Sdn Bhd Pengkalan Chepa sempena pelancaran SHMMP pada Selasa.
Adnan (kanan) ketika melakukan pemeriksaan harga barangan terkawal di Pantai Timor Hypermarket Sdn Bhd Pengkalan Chepa sempena pelancaran SHMMP pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memberi amaran kepada pemborong dan peniaga di negeri ini supaya tidak menaikkan harga bawang dengan sewenang-wenangnya.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, meskipun pihaknya belum menerima aduan berhubung perkara itu, namun peniaga diingatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan kerana pasukannya sentiasa membuat pemeriksaan.

Menurutnya, bekalan bawang yang diimport dari India sememangnya menghadapi masalah sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi selain berdepan dengan banjir besar di negara itu.

“Kita menasihatkan rakyat untuk menjadi pengguna yang bijak dengan memilih bawang import dari Cina dan Thailand yang harganya lebih murah.

“Rakyat masih ada alternatif untuk memilih bawang dari negara lain tetapi orang kita ni lebih suka dengan bawang dari India,” katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2020 di Pantai Timor Hypermarket Sdn Bhd Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Adnan (dua dari kiri) bersama Saiful Adli (tengah) ketika perasmian SHMMP di Pengkalan Chepa pada Selasa.
Adnan (dua dari kiri) bersama Saiful Adli (tengah) ketika perasmian SHMMP di Pengkalan Chepa pada Selasa.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Saiful Adli Abu Bakar yang turut dihadiri Pengurus Kawasan Kumpulan Pasar Raya Pantai Timor, Tan Hock Beng.

Sementara itu, Adnan mengingatkan bahawa penguatkuasa KPDNHEP Kelantan akan berada di lokasi-lokasi tumpuan ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk pemeriksaan serta pemantauan.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, jika terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui WhatsApp 019-2794317 atau aplikasi Ez ADU serta boleh menghubungi talian1-800-886-800.