Lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan pada Selasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.
Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan pada Selasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan pada Selasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Selangor terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Pasar Baru melibatkan daerah Klang dan Kuala Langat dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 15 Disember melalui saringan individu bergejala.

"Sehingga 22 Disember, sejumlah 2,001 individu telah disaring dengan 309 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, satu lagi kluster di negeri itu ialah Kluster Bukit Naga melibatkan tempat kerja di Klang dengan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan pada 13 Disember hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga Selasa, sejumlah 190 individu telah disaring dengan 58 kes telah dikesan positif.

Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula terdapat tiga kluster baharu dikesan yang kesemuanya melibatkan tempat kerja.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Residen dikesan di daerah Lembah Pantai dengan kes indeks dilaporkan positif bermula Selasa melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga kini, sejumlah 640 individu telah disaring dengan 294 kes telah dikesan positif.

"Kluster Tapak Bina Kasih pula melibatkan daerah Kepong dengan kes indeks positif Covid-19 dilaporkan pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga Selasa sejumlah 392 individu telah disaring dengan 43 kes telah dikesan positif.

"Satu lagi kluster iaitu Kluster Tapak Bina Sinar View di daerah Kepong dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga 22 Disember, sejumlah 510 individu telah disaring dengan 32 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, di Sabah, Kluster Paginatan dikesan di daerah Ranau, Papar dan Kota Belud dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 15 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Katanya, sehingga Selasa, sejumlah 232 individu telah disaring dengan 47 kes dikesan positif.

Di Johor, Kluster Tampoi Jaya yang merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan Johor Bahru dan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 17 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

"Sehingga 22 Disember, sejumlah 231 individu telah disaring dengan 32 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kluster baharu yang dikesan di Kinta dan Perak Tengah melibatkan Kluster Rapat dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 16 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Beliau berkata, sejumlah 146 individu telah disaring dan tujuh kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Katanya, jumlah kluster yang telah tamat ialah 253 termasuk tiga yang tamat pada Selasa iaitu Kluster Summer, Kluster Kota Kecil dan Kluster Tenaga. - Bernama