Wang simpanan lesap gara-gara satu panggilan

Padah melayan panggilan nombor tidak dikenali, seorang kerani terpaksa 'gigit jari' apabila wang simpanannya dalam sebuah bank sebanyak RM11,000 lesap. Foto 123RF
Padah melayan panggilan nombor tidak dikenali, seorang kerani terpaksa 'gigit jari' apabila wang simpanannya dalam sebuah bank sebanyak RM11,000 lesap. Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah melayan panggilan nombor tidak dikenali, seorang kerani terpaksa 'gigit jari' apabila wang simpanannya dalam sebuah bank sebanyak RM11,000 lesap.

Kejadian berlaku selepas wanita berusia 39 tahun itu menerima satu panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri kononnya sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan di Cyberjaya, kira-kira jam 1.30 petang pada Ahad.

Menurut sumber, mangsa yang ketika itu berada di sebuah kedai makan di Bukit Payong, Marang dimaklumkan suspek kononnya dia dikesan mempunyai tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM38,600.

Katanya, suspek kemudian menghantar satu pautan borang yang perlu diisi mangsa dengan segera melalui aplikasi mesej.

"Mangsa diarah melengkapkan borang berkenaan yang ada meminta nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank yang aktif.

"Tanpa berfikir panjang ditambah pula dengan perasaan sangat takut, mangsa terus melengkapkan borang sebelum menghantar semula juga melalui aplikasi mesej kepada nombor sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut sumber, beberapa minit kemudian mangsa ada menerima mesej daripada bank miliknya memaklumkan yang dia ada melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun tidak diketahui tanpa pengetahuannya.

"Terkejut menerima mesej tersebut, mangsa terus membuat semakan akaun bank miliknya sebelum mendapati jumlah wang simpanannya berkurangan sehingga RM11,000 hanya dalam tempoh tidak sampai 30 minit.

Artikel Berkaitan:

"Tidak berpuas hati wang simpanannya yang hilang itu, mangsa baru menyedari dia sudah terperangkap dengan sindiket penipuan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat mangsa di Balai Chabang Tiga di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.