X

Kindly register in order to view this article
!

'Tidak wajar haramkan poligami tapi biarkan zina'

Mohammad Nidzam
A
A

SHAH ALAM - Terdapat sesetengah pasangan yang tidak membenarkan pasangannya untuk berpoligami tetapi sanggup membiarkan pasangannya bergelumang dengan penzinaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir bagaimanapun berkata, seseorang isteri itu perlu merenung situasi itu sedalam-dalamnya.

"Mana lebih baik sama ada membenarkan suami poligami atau membiarkan pasangannya itu berzina.

"Ada individu yang tidak berpoligami dan mempunyai seorang isteri tetapi terlibat dengan zina. Adakah kita mahu membiarkan masyarakat terus terjebak dalam budaya zina asalkan tidak berpoligami.

"Jadi mana lebih baik, berpoligami yang harmoni dan terkawal serta patuh pada syariat ALLAH SWT berbanding pasangan kita terlibat dengan perzinaan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis program Wacana al-Quran bertajuk 'Kongsi Kasih: Mampukah Adil' surah al-Nisa ayat 3 yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.

Turut menjadi panelis ialah pendakwah bebas, Kapten Mohd Asri Abdul Khalek.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator manakala qari jemputan, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan bacaan surah al-Nisa ayat 3.

Sementara itu, Mohammad Nidzam berkata, terdapat dua perkara yang perlu dititik beratkan apabila mengulas mengenai berpoligami iaitu mengawal dan mengharamkannya.

"Saya bersetuju dalam bab mengawal poligami supaya ia dapat berjalan dengan baik berdasarkan apa yang dijelaskan ALLAH SWT.

"Tetapi apabila menyentuh perihal mengharamkan poligami ini, ia agak berat. Kalaulah penentangannya sehingga tahap mengharamkan poligami, ia dikira seperti sudah menentang syariat ALLAH SWT," kata beliau.

Menurutnya, al-Quran juga sudah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya mengenai isu berpoligami supaya ia tidak dipandang serong dan disalah ertikan.

"Dalam Islam, pensyariatan terhadap poligami itu wujud. Islam mengikat berpoligami itu dengan asas keadilan.

"Jika tidak mampu untuk berpoligami dan tidak berkemampuan untuk adil, maka berkahwinlah satu sahaja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!