Seramai 1,880 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 1,880 daripada 52,593 petugas kesihatan yang disaring dijangkiti Covid-19 sepanjang pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), majoriti punca jangkitan adalah jangkitan antara petugas kesihatan iaitu 33 peratus dan daripada komuniti sebanyak 33 peratus.

"KKM juga mengambil maklum perkembangan terbaharu mutakhir ini di mana terdapat peningkatan kes dalam kalangan petugas-petugas kesihatan terutamanya fasiliti-fasiliti kesihatan di dalam zon merah dan kawasan berisiko tinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian sentiasa prihatin dalam memastikan keselamatan petugas kesihatan sepanjang pandemik dengan melakukan pemantauan berkala.

"Terdapat enam kategori petugas yang disaring iaitu individu yang kembali bertugas sebagai pasukan mobilisasi di Sabah, petugas berisiko tinggi seperti kontak kepada kes positif sama ada di tempat kerja, rumah atau tempat awam," katanya.

Beliau berkata, petugas yang berada di fasiliti yang berlakunya kluster turut disaring.

"Turut disaring ialah mereka yang mengendali kes-kes Covid-19 dan program survelan dalam kalangan petugas secara berkala juga dilakukan di fasiliti tertentu terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian menyeru kepada semua petugas barisan hadapan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan agar jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas dan fasiliti kesihatan dapat dihindari.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga diseru untuk bekerjasama dengan pihak KKM dengan sentiasa memberikan maklumat yang benar kepada petugas kesihatan agar penilaian risiko yang tepat dapat dilaksanakan.

"Penilaian risiko yang tepat ini amat penting kerana ia mampu melindungi petugas kesihatan seterusnya pesakit lain daripada dijangkiti Covid-19," katanya.