X

Kindly register in order to view this article
!

J-KOM perlu dilihat secara menyeluruh: Saifuddin

Saifuddin ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) perlu dilihat secara sarwa atau menyeluruh dengan pandangan yang baharu, realistik, rasional dan matang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu membangunkan pemikiran baharu berkaitan komunikasi dua hala di antara kerajaan dan rakyat khususnya di peringkat akar umbi bersesuaian dengan kepentingan, cabaran dan keperluan baharu.

“Saya berharap kita boleh ‘reset’ pemikiran kita tentang J-KOM ini. Saya tidak berhasrat mengatakan kita boleh selesaikan semua perbezaan pendapat tentang jabatan ini, (tetapi) hakikatnya ini ialah J-KOM, bukan Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas),” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin sekali lagi menjelaskan tugas utama J-KOM ketika ini ialah melaksanakan Komunikasi Strategi Pembudayaan Normal Baharu (Pandemik Covid-19).

Sehubungan itu, beliau berkata, fungsi J-KOM tidak bersifat bertindan dengan agensi di kementerian lain dari segi kumpulan sasaran, pendekatan program dan aktiviti.

“J-KOM juga akan mengambil kira ruang penjimatan dalam Belanjawan 2021 yang diperuntukkan. Ini kerana struktur J-KOM akan ditempatkan di daerah di seluruh negara berbanding struktur Jasa yang dahulunya berada di seluruh kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Mengenai perkhidmatan internet dan jalur lebar, Saifuddin berkata, peruntukan RM500 juta menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam Belanjawan 2021 ialah bagi penyediaan liputan jalur lebar yang berteraskan gentian optik.

Beliau berkata, penggunaan teknologi very small aperture terminal (VSAT) tidak termasuk dalam skop projek itu.

“Teknologi digunakan ialah infrastruktur gentian optik yang akan membekalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi talian tetap dengan capaian minimum pada kelajuan 100 megabait per saat (Mbps) hingga mencecah 1 gigabait (GB) mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kementerian sentiasa merancakkan hebahan informasi bantuan kerajaan kepada rakyat menerusi platform televisyen dan radio agensi KKMM seperti Jabatan Penyiaran Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia dan Bernama serta penggunaan media baharu.

Katanya, mengambil kira kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini, maklumat turut disampaikan dalam bentuk infografik yang merangkumi bahasa dalam dialek masyarakat tempatan dan suku kaum. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!