PKPD Amber Court, Apartment Ria dilanjutkan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kementerian Pertahanan hari ini. -fotoBERNAMA
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kementerian Pertahanan hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court dan Apartment Ria di daerah Bentong, Pahang akan dilanjutkan bermula 24 Disember hingga 6 Januari 2021.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, PKPD bagi lokaliti rumah kongsi Kampung Semaut di daerah sama akan ditamatkan esok.

“Bagi Apartment Amber Court, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 1,183 ujian saringan, dengan sebanyak 381 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan 85 masih menunggu keputusan.

“KKM juga telah melaksanakan 1,041 ujian saringan di Apartment Ria dan mengesahkan terdapat risiko jangkitan baharu yang dikesan manakala terdapat kontak rapat kepada kes positif yang perlu dijalankan ujian saringan,” katanya pada sidang media perkembangan berkaitan PKP Pemulihan (PKPP) pada Selasa.

Beliau berkata, ujian saringan yang dijalankan ke atas semua penduduk di rumah kongsi Kampung Semaut pula mendapati hanya tiga orang sahaja yang bergejala dan ujian RTK antigen yang dijalankan semula ke atas mereka didapati negatif.

Pada 9 Disember, Ismail Sabri mengumumkan tiga lokaliti berkenaan dikenakan PKPD bermula 10 hingga 23 Disember berikutan 55 kes positif Covid-19 direkodkan di mukim tersebut dengan majoriti kes melibatkan pekerja warga asing.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 274 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 setakat pada Selasa.

Sebanyak 137 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran manakala 90 kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, beliau berkata, seramai 122 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemua mereka telah dikompaun.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (52), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (39), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (29) dan lain-lain (dua), katanya.

Selain itu, melalui Op Benteng, beliau berkata, seramai 63 pendatang tanpa izin ditahan semalam, manakala empat kenderaan darat dirampas.

Bagi kuarantin wajib pula, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 89,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 77 hotel serta 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,537 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 535 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 81,912 individu dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama