Cradle Fund: Tiada kesan bergelut, pertahankan diri pada mayat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu, tiada sebarang kesan pergelutan atau mempertahankan diri pada mayat Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, semasa bedah siasat pertama dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Saksi pendakwaan ke-33, Sarjan Abdul Rahim Taha, 59, berkata, perkara berkenaan diberitahu kepadanya ketika mengambil keterangan Pakar Perubatan Forensik HKL Dr Siew Sheue Feng, yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Nazrin.

“Pada 14 Jun 2018, saya telah diarahkan oleh Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Inspektor Anesstassia Chin Fat, untuk membawa mayat mangsa kebakaran (Nazrin) ke HKL untuk dibedah siasat, dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut terlebih dahulu.

“Kira-kira jam 8 malam setelah bedah siasat selesai, saya diarahkan untuk mengambil keterangan Dr Sheue Feng, pegawai perubatan yang melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa yang mati dalam kebakaran berkenaan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tambah Abdul Rahim dalam keterangan berkenaan, Dr Sheue Feng berkata, terdapat kesan kebakaran pada bahagian muka, dada, perut dan kedua-dua tangan mayat mangsa tersebut.

“Selain itu Dr Sheue Feng berkata, terdapat kesan tembusan pada bahagian kepala, muka, leher dan dada. Terdapat juga kesan tembusan pada tengkorak kepala bahagian kiri dan kecederaan tisu otak. Dr Sheue Feng juga memberitahu, paru-paru si mati ‘collapse’ akibat letupan berkenaan,” katanya yang bertugas di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya sejak 1999.

Tambah Abdul Rahim, Dr Sheue Feng turut memberitahu semasa bedah siasat dijalankan, pihaknya tidak menemui sebarang benda asing pada badan mangsa, seperti serpihan besi atau peluru dan menyimpulkan kematiannya berpunca daripada 'complication from a blast injury'.

“Saya kemudian menyerahkan laporan keterangan berkenaan kepada ketua saya Asisten Superintendan Mohd Iqbal Mohammad dan beliau mengarahkan agar kertas siasatan dibuka di bawah kes mati mengejut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama