RM4.5 juta atasi banjir di Teluk Kalong

Hanafiah menunjukkan anggaran kos pembinaan projek pembentung bagi mengatasi masalah banjir di Teluk Kalong, Kemaman.
Hanafiah menunjukkan anggaran kos pembinaan projek pembentung bagi mengatasi masalah banjir di Teluk Kalong, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kemaman hari ini membawa khabar gembira apabila projek pembinaan empat laluan pembentung bernilai RM4.5 juta dimaklumkan telah diluluskan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, projek itu akan dilaksanakan pada Jun depan dijangka dapat mengatasi masalah banjir di kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, di sini.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh enam bulan melibatkan pembinaan pembentung sepanjang 30 meter. Insya-ALLAH, harapan saya ia dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu dan sekitarnya.

“Di kawasan perumahan itu sahaja terdapat 500 buah rumah, melibatkan lebih 2,000 penduduk. Setiap kali hujan, kawasan itu mesti dinaiki air tapi disebabkan hujan lebat empat hari lepas, ia menyebabkan bukan sahaja kawasan Teluk Kalong bahkan Kemasik dilanda banjir,” katanya selepas mengiringi Muhyiddin yang melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsan Bukit Mentok di sini, hari ini.

Muhyiddin (dua dari kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melakukan lawatan ke PPS di SK Bukit Mentok hari ini.
Muhyiddin (dua dari kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melakukan lawatan ke PPS di SK Bukit Mentok hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, fasa pertama projek tebatan banjir atau sungai tiruan berhampiran Binjai ke Tasik Buku, Kemaman akan bermula Mac depan.

“Projek itu bernilai RM150 juta dan akan bermula Mac depan manakala peruntukan RM150 juta lagi bagi fasa kedua, yang mana tender akan dikeluarkan selepas projek fasa pertama.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Pengairan dan Saliran juga memohon tambahan peruntukan RM40 juta bagi menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah untuk fasa pertama. Jika siap dalam lima ke tujuh tahun ini, kita harap banjir tidak akan melanda bandar Chukai lagi,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Terengganu merayu kepada kerajaan Pusat untuk menambah empat lagi laluan pembentung bagi mengatasi masalah banjir di kawasan perumahan RMM Teluk Kalong.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, penambahan pembentung itu diharap dapat mengatasi masalah banjir yang membelenggu kawasan Teluk Kalong sejak tujuh tahun lalu.