X

Kindly register in order to view this article
!

Ku Nan fail rayuan terhadap hukuman penjara, denda

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, 70, ketika dihubungi berkata, notis rayuan itu difailkan semalam menerusi sistem kehakiman dalam talian.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim pula berkata, keputusan sama ada pihak pendakwaan memfailkan rayuan atau tidak akan dibuat oleh Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan dipenjara setahun, denda RM2 juta

Semalam, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah terhadap Ahli Parlimen Putrajaya tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!