Taiping paling tinggi kompaun tak patuh SOP

Mior Faridalathrash Wahid
Mior Faridalathrash Wahid
A
A
A

IPOH - Daerah Taiping mencatat jumlah kompaun tertinggi dengan 1,077 individu bagi pelbagai kesalahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perak sejak Mac lalu sehingga 20 Disember.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 5,192 individu di negeri itu yang dikenakan kompaun atas kesalahan sama.

Menurutnya, selain daerah Taiping, daerah Manjung mencatat bilangan kedua tertinggi dengan 997 kompaun diikuti Tapah (737), Ipoh (675) dan Muallim (363).

"Kebanyakan kesalahan ini membabitkan pemakaian pelitup muka kerana antara alasan yang diberikan kepada pihak polis ketika pemantauan SOP ini ialah mereka tidak tahu bahawa wajib memakai pelitup muka di tempat awam malah ada juga yang memberi alasan terlupa memakai pelitup muka.

"Selain itu, kompaun dikeluarkan ke atas individu yang tidak mematuhi penjarakkan sosial (fizikal) ketika berada di tempat awam termasuk restoran dan kaunter perkhidmatan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, daerah Selama merekodkan jumlah kompaun paling rendah iaitu hanya lapan individu diikuti Pengkalan Hulu (16 orang) dan Hilir Perak (71 orang).

Dalam perkembangan berkaitan, Mior Faridalathrash turut memaklumkan bahawa terdapat 456 premis di seluruh negeri telah diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP sektor perniagaan.

Katanya, daerah Manjung merekodkan jumlah premis tertinggi yang diarah tutup iaitu 331 diikuti Taiping (29), Muallim (23) dan Ipoh (19).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam tempoh 18 Jun hingga 20 Disember itu, hanya tiga daerah iaitu Perak Tengah, Pengkalan Hulu dan Selama yang tidak mempunyai premis perniagaan yang ditutup kerana melanggar SOP.