'Rayuan ibadah haji dibuka, tak perlu tulis surat'

Dr Zulkifli menyentuh skrin sebagai gimik pelancaran Aplikasi THijari pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan secara atas talian, hari ini. - Foto Bernama
Dr Zulkifli menyentuh skrin sebagai gimik pelancaran Aplikasi THijari pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan secara atas talian, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Urusan rayuan pelaksanaan ibadah haji bagi tahun hadapan (tahun 1442H/2021M) dibuka bermula hari ini sehingga 13 Februari 2021 melalui aplikasi THiJARI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bakal haji tidak perlu lagi membuat rayuan haji secara tradisi dengan menulis surat rayuan atau hadir ke cawangan Lembaga Tabung Haji (TH).

"Aplikasi ini memudahkan bakal haji untuk membuat rayuan secara dalam talian. Rayuan ini terbuka kepada mereka yang layak. Tak semua sesuai membuat rayuan. TH akan perincikan siapa yang layak bergantung kepada syarat dikemukakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara TH di sini, hari ini.

Terdahulu Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan diadakan secara dalam talian selama tiga hari bermula Isnin melibatkan 500 Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA) dan turut disertai pakar-pakar agama dalam menetapkan pendirian ibadat, keseragaman hukum hakam dan mencari penyelesaian terbaik berkait ibadat haji, umrah dan ziarah.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, tema Muzakarah Haji kali ini iaitu 'Menghayati Istito’ah Haji dalam Menangani Wabak', amat bersesuaian dan relevan dalam suasana dunia sekarang yang sedang berdepan dengan ujian pandemik Covid-19.

"Saya dimaklumkan sebanyak lima kertas kerja berkaitan istito’ah dibentangkan sepanjang muzakarah ini. diharapkan pembentangan ini dapat memberi penjelasan tuntas tentang syarat istito’ah yang seterusnya disampaikan kepada para bakal haji dengan jelas dan mudah difahami, Insya-ALLAH.

"Saya percaya pendirian dan resolusi yang akan dihasilkan pada muzakarah kali ini nanti Insya-Allah, akan membantu para PEKTA dalam membimbing bakal jemaah haji Malaysia dan menyampaikan penyelesaian pelbagai permasalahan yang bakal diutarakan berkaitan pelaksanaan ibadat haji ketika wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: