FGV bantu 1,084 pekerja migran pulang ke negara asal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd telah membantu seramai 1,084 pekerja migran syarikat itu pulang ke negara asal masing-masing bagi tempoh Mac 2020 hingga setakat bulan ini, walaupun dalam persekitaran sekatan perjalanan di peringkat global berikutan pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan FGV hari ini, langkah itu merangkumi seramai 661 warga Indonesia, 295 (India), 126 (Bangladesh) dan dua dari Nepal.

Bagi pekerja migran dari India, usaha terbabit diuruskan menerusi pejabat Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

“FGV kekal komited dalam usaha memastikan semua pekerja yang telah tamat kontrak dapat kembali dengan selamat ke negara asal masing-masing.

“Bagi pekerja yang telah tamat tempoh perkhidmatan dengan FGV, kesemua kos pulang tersebut termasuk tambang penerbangan adalah ditanggung sepenuhnya oleh FGV,” katanya.

Pandemik Covid-19 juga telah menyebabkan kelewatan urusan memperbaharui dokumen berkaitan seperti permit kerja dan pasport akibat penutupan sementara operasi pihak berkuasa dan kedutaan terbabit.

"Apa yang boleh ditegaskan di sini FGV sama sekali tidak mengamalkan tindakan memegang pasport pekerja migran ini. Malah, FGV turut memasang sejumlah 32,250 kotak keselamatan di semua 68 kompleks miliknya yang menjadi pilihan untuk pekerja ini menyimpan dokumen berkenaan dengan selamat,” kata FGV.

Selain itu, syarikat berkenaan juga komited untuk melaksanakan pelan tindakannya di bawah gabungan dengan pihak Persatuan Buruh Saksama (FLA).

Artikel Berkaitan:

Pelan berkenaan telah digunapakai pada 31 Mac 2020 iaitu ketika penularan Covid-19 amat ketara di serata dunia termasuk di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai Pelan Tindakan FLA itu boleh diakses menerusi laman sesawang FGV di www.fgvholdings.com dengan laporan seterusnya mengenai perkembangan itu dijadual dikeluarkan pada 31 Mac 2021.

Pendirian FGV untuk menghormati hak asasi manusia dan menegakkan standard-standard buruh adalah seiringan dengan komitmen syarikat terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Prinsip Panduan Bagi Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGP).

Malah, agenda kemampanan dan hak asasi manusia FGV juga kekal menjadi keutamaan syarikat yang seiringan dengan usahanya serta untuk meningkatkan amalan buruh berkaitan. - Bernama