Kelantan kemuka cadangan tebatan banjir kepada kerajaan Persekutuan

Ahmad (kanan) ketika menyambut kedatangan Muhyiddin (dua dari kiri) ke Rantau Panjang pada Selasa untuk melawat mangsa banjir.
Ahmad (kanan) ketika menyambut kedatangan Muhyiddin (dua dari kiri) ke Rantau Panjang pada Selasa untuk melawat mangsa banjir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan cadangan pembinaan projek tebatan banjir di Rantau Panjang kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha mengurangkan risiko bencana itu setiap kali tiba musim tengkujuh.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, cadangan yang menelan belanja sebanyak RM1.5 bilion itu diangkat untuk dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kita turut menyatakan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa projek tebatan banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang bagi fasa kedua boleh dimulakan dengan bajet berjumlah RM600 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini pada Selasa.

Ahmad berkata, apabila projek tebatan itu siap sepenuhnya, ia bakal memberikan kelegaan kepada penduduk Rantau Panjang.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya projek itu tidak dilaksanakan, kawasan Rantau Panjang akan menerima limpahan air dari Sungai Golok pada setiap tahun yang akan masuk ke kawasan sekitar, sekali gus menyebabkan banjir.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan Kelantan berharap projek berkenaan dapat diluluskan segera bagi mengurangkan risiko banjir.

Menurutnya, projek tebatan banjir ketika ini telah bermula di Tumpat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun padang ke Kelantan bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir di Rantau Panjang pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Walaupun singkat, beliau berkata, lawatan itu amat bermakna buat mangsa banjir serta para petugas terlibat.