Tabung Bantuan Bencana Agromakanan bantu penternak, petani terjejas

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan Tabung Bantuan Bencana Agromakanan dalam usaha membantu pengusaha ikan sangkar yang mengalami kerugian terutama pada musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta di bawah tabung terbabit bagi membantu pesawah, petani dan penternak yang kehilangan hasil akibat bencana alam.

“Bayaran di bawah tabung ini bukan bertujuan membayar ganti rugi kerosakan akibat bencana tetapi merupakan bantuan wang ihsan atau input pertanian bagi membantu memulihkan projek petani, penternak (termasuk akuakultur) dan pengusaha berskala kecil untuk meneruskan aktiviti mereka setelah ditimpa bencana.

“Kadar bantuan di bawah Tabung Bantuan Bencana Agromakanan kepada pengusaha atau penternak akuakultur ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu bantuan maksimum RM3,000 bagi penternak kolam dan pengusaha hatceri, manakala maksimum RM2,400 untuk penternak sangkar,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu bentuk bantuan yang disalurkan kepada pengusaha ikan sangkar yang mengalami kerugian terutama pada musim tengkujuh.

Sementara itu, Che Abdullah berkata, pengusaha ikan sangkar yang terjejas juga boleh memohon ‘in-kind contribution’ seperti bantuan benih dan makanan ikan secara percuma di bawah Program Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPEKS) oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

“Bantuan ini ditawarkan hanya sekali untuk setiap penternak dengan nilai maksimum sebanyak RM10,000,” katanya.

Artikel Berkaitan: