X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia waspada jaringan virus baharu Covid-19 dari UK

Adham (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga serta menjalankan pemantauan dengan lebih terperinci bagi mengelak penularan jaringan virus baharu yang dikesan di United Kingdom (UK).

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sempadan negara masih belum dibuka sepenuhnya dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 atau sebarang virus yang mengancam nyawa.

"Sempadan negara masih dikawal sepenuhnya kerana bimbang kes-kes dari luar negara seperti varian virus baharu Covid-19 yang berlaku di England sehingga menyebabkan beberapa negara lain turut menyekat penerbangan keluar dan masuk dari sana.

"Sebab itulah kawalan sempadan amat penting dan perlu diberi keutamaan buat masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Adham berkata, kerajaan akan mengambil tindakan proaktif sekiranya terdapat laporan berkaitan virus berkenaan yang dikatakan amat mudah berjangkit.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan berkenaan varian virus baharu itu di negara ini.

"Bagaimanapun, jika ada kita akan buat seperti Kluster Sivagangga sebelum ini, " katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam laporan akhbar berkata, varian baharu itu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi iaitu sebanyak 20 peratus.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!