Abun nafi PKR Sarawak dalam krisis

Abun Sui Anyit
Abun Sui Anyit
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Larry Sng Wei Shien meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak tidak semestinya membuktikan PKR di negeri itu berada dalam krisis.

Ketua Penerangan PKR Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, hasrat Wei Shien disalah erti oleh Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang yang menyangka PKR dalam kemelut ketika ini.

"Keadilan (PKR) Sarawak menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas ini baik di peringkat nasional mahu pun di peringkat negeri.

"Idris suka menangguk di air keruh. Berkias melindungi kelemahan urus tadbir dan rasuah dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataannya pada Selasa.

Pada Isnin, Idris menyifatkan tindakan Wei Shien yang mahu pemimpin Dayak diangkat menerajui kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 sudah agak terlambat.

Beliau berkata, usaha itu hanya akan merencat dan mengeruhkan keadaan menjelang PRN yang dijangka diadakan kurang lapan bulan dari sekarang.

"Tidak hairanlah dengan berita ini, PKR sekarang kucar-kacir, baik di peringkat nasional ataupun Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy (SEVA) 2020 pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR rangka strategi baharu hadapi PRN Sarawak

Artikel Berkaitan:

Cadang pemimpin Dayak terajui PKR Sarawak

Dalam pada itu, Abun menjelaskan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak sudah mengambil maklum tentang hasrat Wei Shien dan akan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat.

"Itu merupakan hasrat peribadi beliau untuk memberi laluan kepada pemimpin lain. Walau bagaimanapun hasrat ini akan dibincangkan oleh MPN Sarawak dalam masa terdekat.

"Justeru, Keadilan (PKR) Sarawak berharap ahli Keadilan di seluruh Sarawak diminta bertenang kerana hasrat YB Larry Sng Wei Shien ini akan ditangani dengan baik.

"Keadilan Sarawak juga berharap agar rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dan dikelirukan oleh pihak luar yang mempunyai agenda tersembunyi dalam memberi kritikan negatif terhadap urusan Keadilan ini," katanya.