Ahmad Fauzi dilantik Naib Canselor UTM ketujuh

Ahmad Fauzi Ismail
Ahmad Fauzi Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ketujuh.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelantikan tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

"Saya percaya melalui pelantikan ini, Ahmad Fauzi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UTM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik negara," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini.

Ahmad Fauzi, 54, merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM sejak 15 Januari 2015 dan diberi kepercayaan menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor menggantikan Profesor Datuk Ir Dr. Wahid Omar mulai 1 September 2020 sehingga kini.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi dalam satu kenyataan dikeluarkan UTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.

"Saya berharap dapat terus bersama-sama menjayakan agenda universiti seterusnya membawa UTM ke peringkat lebih tinggi sama ada di peringkat nasional mahupun global," katanya.

Ahmad Fauzi berkelulusan Sarjana Muda (BSc) Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana (MSc) Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland.

Beliau telah memenangi lebih dari 130 anugerah bagi hasil penyelidikan dan pembangunan serta inovasi produk antaranya merupakan rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Saintis Muda ASEAN, Anugerah Harta Intelek Negara dan Anugerah Inovasi Negara sebanyak dua kali serta berjaya merangkul ‘The World Academy of Sciences’ (TWAS), Prize in Engineering Sciences for 2019 dan Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Artikel Berkaitan:

Peranan beliau sebagai pengasas dan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) pada 1 Ogos 2013 sehingga 24 Jun 2018 berjaya memberi manfaat kepada komuniti khususnya melalui penghasilan teknologi membrane bagi pengeluaran air bersih di lokasi terpencil atau lokasi bencana.

Melalui teknologi tersebut juga, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberikan kepercayaan untuk projek pembekalan sistem rawatan air mudah alih bagi sekolah-sekolah pedalaman di bawah Kementerian Pendidikan dengan peruntukan RM8.1 juta.

Ahmad Fauzi juga diiktiraf sebagai Highly Cited Researcher, Malaysia’s Research Star Award selama tiga tahun.

Sehingga kini, beliau menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, lapan buah buku karya asli, 66 bab dalam buku dan telah menyunting 10 buah buku serta turut terlibat dalam penghasilan lebih 30 paten.