X

Kindly register in order to view this article
!

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Pemimpin kena tahu waktu berkorban: Peja

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A

DENGAN hanya berbekalkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), siapa sangka ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-12 pada tarikh 12 Mei 2018.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan termasuk dalam kalangan rakan-rakan ADUN di pihak kerajaan, Ahmad Faizal, 50, yang lebih mesra dipanggil ‘Peja’ tetap tenang memastikan pentadbiran kerajaan negeri Perak berjalan lancar.

Selepas 22 bulan mentadbir Perak, kedudukan beliau sekali lagi teruji pada penghujung bulan Februari tahun ini, apabila kerajaan PH runtuh dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu, UMNO dan Pas.

Sekali lagi, anak kelahiran Tambun itu berjaya mengekalkan jawatan Menteri Besar buat kali kedua pada 13 Mac 2020, sebelum akhirnya ‘digulingkan’ selepas gagal mendapat sokongan majoriti 59 ADUN Perak.

Melalui usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim daripada UMNO, pada sidang DUN Perak, 5 Disember lalu, hanya 10 orang yang menyokong, 48 lagi membantah dan satu undi berkecuali dalam undi belah bahagi.

Ikuti wawancara eksklusif Editor Kandungan Premium, Zamri Rambli dan wartawan Sinar Harian Premium, Nurul Riduan Nor Ashaha dan Khairil Anwar Mohd Amin bersama Peja bagi menyelami luahan hati serta kisah menarik di sebalik krisis kejatuhan beliau selaku Menteri Besar Perak ke-12 dan ke-13 bagi baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Sebagai satu-satunya calon Bersatu yang berjaya memenangi kerusi DUN Chenderiang, boleh Datuk Seri ceritakan semula detik-detik pertama kali dilantik sebagai MB Perak mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14?

AHMAD FAIZAL (PEJA): Rasanya macam dah lama (saat itu) tetapi sebenarnya tidak sampai tiga tahun. Tetapi seingat saya pada waktu itu, isu perebutan kerusi MB sebenarnya telah berlaku sejak hari pertama lagi. Malahan, pada hari saya berangkat ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar untuk istiadat mengangkat sumpah sebagai MB, saya masih belum tahu siapakah MB ketika itu. Hakikatnya, pada saat waktu istiadat mengangkat sumpah terlalu dekat, proses perbincangan siapakah yang bakal mengangkat sumpah MB masih berlangsung.

Saya kira waktu itu mungkin istana pun telah sediakan beberapa surat sumpah dan akhirnya saya yang (dipilih) mengangkat sumpah. Selepas itu, saya nampak tak berhenti-henti orang mahukan kerusi berkenaan tetapi Alhamdullilah kerajaan dapat berjalan, beroperasi dan membuat pentadbiran seperti biasa.

Foto kenangan ketika Sultan Nazrin Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada Ahmad Faizal untuk menjadi MB Perak buat kali kedua pada Mac lalu.
Foto kenangan ketika Sultan Nazrin Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada Ahmad Faizal untuk menjadi MB Perak buat kali kedua pada Mac lalu.

Alhamdulillah banyak juga perkara yang dapat kita lakukan dan sehingga perubahan kerajaan (berlaku sekali lagi), saya masih lagi mengangkat sumpah sebagai MB (kali kedua).

Pada ketika itu, terdapat kemungkinan pembentukan kerajaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pas apabila BN memenangi 28 kerusi DUN, PH 28 kerusi dan Pas (3).

Bagaimanapun, Datuk Seri akhirnya terpilih sebagai Menteri Besar Perak setelah meraih sokongan dua ADUN UMNO. Boleh Datuk Seri ceritakan bagaimana dua ADUN UMNO itu bertindak menyokong Datuk Seri?

Ramai orang susah hendak percaya cerita saya ini, waktu itu negeri masih tergantung tiada kerajaan. (Hakikatnya) saya langsung tak berbuat apa-apa, saya tiada hubungi sesiapa. Sungguh!

Tapi saya ingat pada pagi itu, saya ini berjiran dengan Datuk Zainol (Fadzi Paharuddin). Datuk Zainol (ADUN Sungai Manik) telefon saya ajak sarapan di rumahnya.

Saya pergi ke rumahnya untuk bersarapan dan kemudiannya Datuk Nolee (Ashilin Mohammed Radzi) pun datang. Pada masa itu, Datuk Zainol berkata kepada Datuk Nolee (ADUN Tualang Sekah), ‘Jomlah kita sign surat sokong Peja tubuh kerajaan.’

Itulah perkara sebenar yang berlaku tetapi saya tidak berbuat apa-apa. Saya kata, ‘Kalau you nak buat surat, you buat sendirilah.’ Saya pun balik rumah.

Rupanya mereka benar-benar melakukannya dan selepas itu baru saya tahu dalam surat itu menyebut bahawa mereka hanya menyokong saya sebagai MB, kalau orang lain mereka tarik balik, tidak bagi sokongan. Itulah puncanya bagaimana PH dapat cukup bilangan untuk tubuh kerajaan.

Waktu itu, Datuk Seri berasa terkejut?

Terkejutlah, tetapi sebab saya yakin mereka ini memang rapat dengan saya, mereka tahu apa yang saya boleh lakukan. Tetapi saya tidak tahu yang mereka hendak bagi sokongan, ingatkan makan kuetiau sahaja.

Bagaimana penerimaan ADUN-ADUN PH terhadap dua ADUN UMNO yang menyokong Datuk Seri menjadi MB?

Bila kita (PH) ada numbers, saya tahu ada pemimpin yang telah pergi berjumpa dengan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan surat watikah kerajaan PH bagi diangkat sebagai MB.

Tetapi apabila saya sampai ke istana (Istana Iskandariah), ada berlaku perbincangan dengan pihak istana dan Tun Mahathir akhirnya memberi pengesahan kepada pihak istana agar saya disembah cadangkan bagi diangkat sebagai MB baharu.

Sepanjang Datuk Seri mengemudi kerajaan PH Perak, nama Datuk Seri mula mekar dalam kalangan pengundi Melayu apabila tuntutan pelanjutan tempoh hak milik tanah pajakan daripada 99 tahun kepada 999 tahun oleh ADUN-ADUN DAP ditolak Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri boleh berani membuat keputusan besar yang mungkin boleh menjejaskan kedudukan Datuk Seri selaku MB?

Terima kasihlah atas soalan itu kerana baru-baru ini, waktu ADUN Pengkalan Baharu (Datuk Abdul Manaf Hashim) ada berbahas untuk usul undi percaya kepada saya yang sebenarnya undi tidak percaya.

Dalam perbahasan itu, beliau menyebut bahawa saya sewaktu jadi MB dalam PH, PH mahu buang saya... Sebagai Menteri Besar dalam Perikatan Nasional (PN) pun, UMNO dan Pas juga mahu buang saya, jadi there must be something wrong with this guy.

Jadi untuk menjawab soalan itu, semua patut ingat saya hendak dibuang waktu PH sebab saya tak mahu ikut cakap satu atau dua pemimpin DAP. Mereka mahu sangat supaya kerajaan beri kelulusan tanah kekal, hak milik kekal selama-lamanya atau kita sebut popularnya, 999 tahun.

Jadi (tuntutan ini saya berpandangan, tidak boleh dibuat bukan sebab saya terlalu kuat semangat Melayu, tetapi sebab kita mahu mentadbir kerajaan dengan cekap.

Ahmad Faizal ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan (kanan) dan Khairil Anwar (dua dari kanan di Petaling Jaya baru-baru ini.
Ahmad Faizal ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan (kanan) dan Khairil Anwar (dua dari kanan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bayangkan kalau hasil negeri yang terlalu bergantung kepada cukai tanah dan kita bagi seluruh kampung Melayu, perkampungan kaum India, kampung baru Cina dan sebagainya sebagai tanah hak milik kekal, kerajaan tidak akan dapat pendapatan. Bila tiada pendapatan bagaimana kita mahu beri perkhidmatan kepada rakyat? Dari segi good governance itu sudah tidak betul.

Waktu itu saya pertahankanlah (keputusan itu) hingga beberapa kali saya ditekan dalam banyak mesyuarat Exco dan politik. Alhamdulilah keputusan itu bertahan.

Tidak tahulah mekar atau tidak nama saya waktu itu tetapi benda yang saya fikir patut buat saya akan buat dengan bersunguh-sungguh. Itulah yang berlaku dan seterusnya.

Lapan bulan dalam kerajaan PN pula, saya pun tidak tahulah, hari Rabu ada mesyuarat Exco, tiada bergaduh, semuanya baik, kita (setuju) luluskan belanjawan, semua pakat elok-elok hari Rabu tetapi hari Jumaat saya dijatuhkan.

Adakah Datuk Seri merasakan ADUN-ADUN kerajaan di bawah PH lebih bertolak ansur dan memahami kepentingan kukuhnya kerajaan berbanding kerajaan PN?

Saya ingat dua-dua faham pentingnya kestabilan politik dan saya pun buatlah pengakuan yang saya tak really pertahankan sangat.

Terdapat juga polemik perebutan jawatan MB Perak sewaktu Datuk Seri dikekalkan menggalas jawatan itu kali kedua di bawah pentadbiran kerajaan PN. Boleh Datuk Seri jelaskan keadaan ketika itu?

Kali kedua penubuhan kerajaan baharu, ia stalemate seperti kali pertama dengan tiga parti telah menyembah cadangkan kepada Tuanku Sultan Perak nama-nama calon MB pilihan masing-masing.

Masing-masing bawa nama pemimpin parti masing-masing. Bersatu calonkan nama saya, Pas calonkan nama Pesuruhjaya Pas Negeri (Razman Zakaria) dan UMNO cadangkan nama Pengerusi UMNO Perak (Datuk Saarani Mohamad) kepada Tuanku.

Tuanku pula telah perkenankan nama saya untuk diangkat sumpah. Waktu itu kita telah bersetuju bahawa apa jua nama telah diperkenankan, kita terima dengan baik dan teruskan usaha untuk membantu rakyat sehingga ke pilihan raya.

Apa yang berlaku sebenarnya, banyak kata-kata yang mengugut kononnya saya perlu diturunkan (jawatan MB) kerana saya telah cuba mengamalkan pecah perintah dalam UMNO. Ia berikutan tindakan saya melantik seorang ADUN daripada UMNO (Datuk Aznel Ibrahim) sebagai setiausaha politik saya.

Kalau itu satu kesalahan, saya secara terbuka ingin memohon maaf. Tetapi alasan saya sebenarnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara dua parti (UMNO dan Bersatu). Saya lihat semuanya telah berjalan dengan baik kecuali hubungan antara parti. Itu yang perlu kita perkemaskan.

Kedua, (bagi menjaga) hubungan antara kerajaan (PN) dan pemimpin serta jentera UMNO. UMNO sebagai sebuah jentera parti yang kuat dan mempunyai ADUN paling ramai, maka saya fikir amat penting seorang daripada UMNO dilantik memegang jawatan itu.

Itu niat saya tetapi dilihat sebagai cuba mengamalkan pecah dan perintah hingga berlaku krisis baru-baru ini.

Sepanjang penubuhan kerajaan PN, apakah isu-isu atau tuntutan UMNO yang tidak ditunaikan yang mungkin mencetuskan usul undi percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri?

Saya tidak tahu, tidak dimaklumkan. Tetapi seingat saya, tidak pernah dalam sejarah di negeri Perak, semua ADUN UMNO mendapat jawatan lain sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau perbadanan-perbadanan negeri. Semuanya ada peranan lain dalam kerajaan, melebihi daripada zaman UMNO memimpin sendiri.

Jadi saya pun tidak faham kerana saya tidak dimaklumkan.

Usul undi percaya, adakah Datuk Seri menjangkakan perkara ini?

Seminggu sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), apabila saya dapat tahu ADUN Pengkalan Baharu telah menghantar surat kepada Speaker DUN untuk mengusulkan satu undi percaya kepimpinan saya. Saya sudah tahu itu bukan usul percaya, itu usul tidak percaya.

Dari satu segi, ramai yang menasihati saya, itu suatu perkara yang memesongkan Dewan (DUN) yang sebenarnya satu kesalahan mengikut Perintah Tetap (Sidang Mesyuarat DUN Perak). Tetapi saya tidak ambil apa-apa tindakan.

Lebih-lebih lagi, apabila saya lihat terdapat satu usul untuk menggantung Perintah Tetap supaya usul persendirian itu dapat dinaikkan dan dibahaskan terlebih awal, telah dibawa bersama oleh seorang ADUN daripada DAP dan seorang ADUN daripada UMNO.

Apabila saya lihat sampai sanggup hendak bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan saya, saya fikir saya perlu main satu peranan supaya dapat mengamankan keadaan dengan tidak menyebabkan perbalahan di antara kita, jadi itu yang saya buat.

Orang kata saya jiwa besar, bukan jiwa besar tetapi ia sesuatu yang saya perlu lakukan untuk mengelakkan perkara tidak baik berlaku di dalam politik di negeri kita.

Boleh ceritakan apa perasaan waktu itu, adakah bercampur baur dan sedih? Ini kerana dalam tempoh tiga tahun Datuk Seri menjadi Menteri Besar, Datuk Seri berhadapan dengan rakan dan musuh yang sama.

Saya cuma berasa pelik. Saya tidak berasa marah, saya tidak rasa kecewa, saya tidak berasa sedih.

Ahmad Faizal dilantik sebanyak dua kali sebagai Menteri Besar Perak.
Ahmad Faizal dilantik sebanyak dua kali sebagai Menteri Besar Perak.

Mungkin kalau ada sedikit marah pun kerana saya lihat sampai sanggup rakan-rakan dalam PN bekerjasama dengan pihak pembangkang terutama sekali DAP dalam usaha untuk menjatuhkan saya.

Sedangkan, saya berpandangan pada waktu itu kalau mereka mahu berbincang dengan saya secara baik, ada besar kemungkinan saya nak dengar.

Bukan sahaja mendengar, mungkin saya juga akan mengambil tindakan-tindakan yang boleh menguntungkan mereka. Mendapatkan matlamat yang mereka sasarkan tanpa perlu melalui seperti apa yang kita lalui di sidang Dewan (DUN).

Kerjasama yang Datuk Seri sebutkan berkaitan dengan DAP, adakah Datuk Seri merasakan kerjasama itu hanya secara kebetulan?

Pertama, mereka tidak akan mengaku. Kedua, mana logiknya seorang ADUN daripada DAP dan seorang ADUN daripada UMNO menghantar surat untuk menggantung Perintah Tetap (Mesyuarat DUN Perak), beza lima minit pada hari yang sama sebelum sidang Dewan (DUN)?

Tentunya ada perancangan, jadi saya fikir perkara ini tidak perlu buat. Bincang elok-elok mungkin saya boleh bagi satu keputusan yang menepati matlamat mereka. Itu yang saya sebutkan tadi.

Kalau hendak buat pun, semua orang tahu pada hari itu saya hendak bentangkan usul Belanjawan Negeri Perak 2021.

Terdahulu, Menteri Besar Perak yang baharu telah mengeluarkan kenyataan bahawa usul belanjawan yang dibentangkan sebelum ini, sama seperti usul yang mahu saya bentangkan.

Jadi apa salahnya kita luluskan dahulu belanjawan berkenaan? Kemudian hendak buat usul percaya, usul amat tak percaya ke, buatlah.

Tetapi sebelum itu saya fikir, dahulukanlah perkara yang penting. Dahulukan perkara yang paling dekat dengan rakyat, yang mustahak kepada rakyat.

Berbalik kepada 5 Disember lalu apabila Datuk Seri dilihat sebagai seorang berjiwa besar, nampak cool, boleh berjumpa semua orang, bagaimana Datuk Seri dapat kekal tenang dan mengapa Datuk Seri tidak melawan?

Kenapa saya tidak melawan? Seperti saya sebut tadi, saya mahu jaga kestabilan.

Kalau saya suruh anak-anak buah saya berkumpul, baring di tengah jalan menuju istana, itu akan menyebabkan ketidakstabilan. Malu dekat orang negara luar, jadi itu saya cuba elakkan.

Yang kedua, pada saya jawatan sebagai MB satu amanah yang cukup besar dan apabila ia dibebaskan daripada saya, sebenarnya ia mendatangkan kelegaan kepada diri saya. Ini kerana I am the type of person yang kalau mahu berbuat sesuatu itu saya buat bersungguh-sungguh.

Bila saya dapat amanah yang besar sebagai seorang MB, saya buat sungguh-sungguh.

Dalam kesungguhan itu, ia memberi kesan kepada diri saya dan apabila terlepas beban itu, memang rasa lega sedikit

Pada saat Datuk Seri kehilangan kuasa sebagai MB, siapakah individu yang sentiasa berada di samping Datuk Seri dan terus menyokong Datuk Seri? Apa pula reaksi keluarga mengenai situasi itu?

Agak menarik bila anda tanya soalan itu, sebab mereka yang terpaksa undi tidak percaya kepada saya, adalah dalam kalangan sebenarnya yang percaya pada saya.

Ada antaranya ADUN-ADUN UMNO dan ADUN-ADUN lain yang hendakkan saya kekal sebagai MB, (tetapi) terpaksa ikut arahan parti masing-masing dan ramai jumpa saya sambil menangis, nyatakan sokongan namun tidak mampu melawan arahan pucuk pimpinan masing-masing.

Anak-anak seronok tapi mereka tidak tahu apa-apa. Bila saya bukan lagi MB, anak-anak kata saya boleh luang lebih banyak masa dengan mereka. Isteri saya pula agak kecewa kerana saya sepatutnya mampu melakukan lebih banyak agenda pembaharuan di Perak.

Banyak perkara yang saya lakukan belum capai tahap dimahukan. Contohnya usaha menjaga kelestarian alam sekitar, membantu menangani perubahan iklim. Perkara ini hendak buat tapi belum tercapai.

Isteri dan keluarga banyak terasa (kecewa) sebab (banyak perkara) tidak sempat saya nak buat. Saya sendiri pun terasa "Alamak...kalau tidak dapat buat banyak lagi."

Banyak sebenarnya usaha hendak dibuat termasuk pemutihan tanah, inisiatif buka tanah untuk tujuan pertanian bagi membantu golongan muda dalam industri pertanian dan saya harap kerajaan baru akan buatlah.

Pada saat rakan-rakan ADUN lain datang berjumpa Datuk Seri dan menangis, apa penjelasan Datuk Seri kepada mereka?

Saya katakan kepada mereka, ‘You all kena follow arahan parti lah, sehingga saya terpaksa dikorbankan maka dikorbankanlah. It's okay’. Lagipun saya bukan superman, bukan kiamat lagi esok. Hari ini saya tak jadi MB pun tidak berlaku apa-pun di Perak tu.

Cuma cara berlaku itu, kita rasa amat kesal sedikitlah, kita kena berlapang dada. Jangan ingat politik itu segalanya, kena yakin bahawa setiap satu yang berlaku itu Allah SWT tentukan.

Datuk Seri berusaha keras untuk menyelamatkan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang berdepan kerugian teruk sewaktu zaman pentadbiran kerajaan terdahulu. Bagaimana perasaan Datuk Seri selepas MAPS akhirnya dilihat kembali bernyawa? Adakah usaha itu tercapai sepenuhnya?

Alhamdullilah, kita nampak peningkatan mendadak pada MAPS sehingga pada satu tahap, kita mampu bayar gaji sendiri dan (kerajaan) tidak perlu top up duit.

Tetapi selepas itu banyak lagi masalah lain kerana beban hutang yang ditanggung MAPS yang terlalu besar.

Namun, saya yakin perkara ini dapat diselesaikan dalam beberapa bulan lagi oleh pengurusan baharu yang akan dilantik oleh kerajaan baharu, bukan di bawah saya.

Tak apalah di zaman orang lain pun saya percaya isu membabitkan MAPS boleh diselesaikan.

Mungkin Datuk Seri boleh berkongsi kisah-kisah kejayaan lain yang boleh dibanggakan di bawah pentadbiran Datuk Seri selaku Menteri Besar selama hampir tiga tahun?

Saya tak nampaklah saya bawa perkara baharu. Tetapi perkara yang setiap kerajaan perlu lakukan adalah mengatasi masalah rakyat.

Isu-isu didepani rakyat seperti isu tanah, kita dapati banyak tanah yang diceroboh dan diusahakan secara haram dan kita tubuhkan jawatankuasa untuk pulihkan keadaan tersebut. Ia perlu diteruskan.

Ahmad Faizal dan isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi meluangkan masa bersama memasak hidangan rendang udang galah untuk berbuka puasa di Kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh.
Ahmad Faizal dan isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi meluangkan masa bersama memasak hidangan rendang udang galah untuk berbuka puasa di Kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh.

Bayangkan mereka yang bertani dan bergantung hidup kepada kehidupan atas tanah kecil itu, mereka ini perlu diberi hak milik untuk meneruskan kegiatan pertanian itu. Kecualilah kalau tanah itu mempunyai rizab sungai, rizab jalan dan sebagainya.

Masalah rumah juga masalah besar di Perak. Kita tidak mempunyai banyak duit dan tidak mampu buat infrastruktur yang baik. Tetapi kita buka tanah untuk dimajukan oleh pemilik sendiri.

Selain itu, masalah peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun tidak selesai... kini kita selesaikan masalah pemilikan tanah peneroka Felda. Berpuluh tahun tidak selesai, tetapi kini kita buka tanah bagi tujuan pemberian lot-lot untuk dimajukan.

Selain itu, masalah tanah peneroka-peneroka Felda melalui kerajaan yang saya tadbir sebelum ini juga telah diselesaikan.

Hanya ada 141 lot tanah sahaja yang masih belum selesai isu pemilikannya kerana kita masih tunggu nama pewaris, namun kebanyakannya diselesaikan.

Saya nampak kejayaan pentadiran saya adalah (atas faktor) saya selalu beritahu pegawai kerajaan supaya jangan tangguhkan usaha siapkan sesuatu isu. Kena siapkan kerja satu persatu sehingga masalah itu selesai.

Apakah polisi kerajaan di bawah pentadbiran Dato Seri yang dirasakan perlu diteruskan oleh pentadbiran kerajaan baharu?

Polisi pemutihan tanah, pemberian milikan tanah, perumahan dan juga pertanian secara komersial (dijalankan) dengan penuh serius. Ini kerana kita dapati Perak mempunyai tanah yang luas.

Negara mengimport makanan lebih RM50 bilion setahun, jadi sebenarnya ada banyak duit di situ. Projek pertanian perlu banyak dilaksanakan di peringkat negeri kerana Perak mempunyai banyak tanah. Jadi saya berharap semua polisi itu dapat diteruskan.

Dalam keadaan Datuk Seri berjiwa besar melepaskan jawatan demi menjaga kestabilan, masih ada lagi terdapat tuduhan-tuduhan liar dilemparkan terhadap Datuk Seri seperti tindakan menjatuhkan Datuk Seri sebenarnya mendapat restu pihak Istana dan aktiviti penjualan ladang. Adakah Datuk Seri terkilan dengan tuduhan-tuduhan itu?

Saya fahamlah bila orang nak justify keadaan itu, mereka terpaksa create something. Tetapi saya sudah jawab semua (sebelum ini). Sebab ada yang kata saya hendak dijatuhkan atas perkenan Tuanku Sultan (Perak) sendiri.

Suka saya hendak bertanya kepada ADUN-ADUN terlibat, adakah mereka mendengar titah daripada Tuanku Sultan sendiri tentang perkara itu? Jika tidak, sebagai pemimpin apakah kita seharusnya terima bulat-bulat khabar angin yang sampai pada mereka?

Jadi, pengalaman ini mengajar kita supaya lebih berhati-hati sebagai pemimpin. Bila kita hendak buat keputusan, kita tidak boleh buat keputusan mengikut apa yang kita dengar dan kita tengok. Kita mesti fikir juga apakah impak yang akan berlaku di sekeliling, terutama sekali kepada rakyat.

Sebagai Pengerusi Bersatu Perak, bagaimana Datuk Seri melihat impak krisis yang berlaku terhadap penerimaan akar umbi?

Pada saya, di peringkat akar umbi, orang Melayu seronok lihat penyatuan di antara UMNO, Pas dan Bersatu. Yang tidak mahu itu siapa? Orang yang bimbang mereka tidak dapat memenuhi kepentingan diri sekiranya ketiga-tiga parti ini bersatu. Itu yang mereka tidak mahu.

Jadi orang itu mesti berjiwa besar. Saya sudah buktikan kepada rakyat, jangan rebut jawatan. Saya berjiwa besar untuk orang ramai dan bukan untuk saya.

Bukan juga untuk parti saya tetapi untuk perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Bukannya untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Ingat balik, bukannya ahli UMNO, Pas dan Bersatu yang tidak mahu. Cuma ada pemimpin kecil di peringkat akar umbi yang bimbang jika ada penyatuan ini, maka peluang untuk mendapatkan sesuatu kerusi (pilihan raya) amat tipis.

Di beberapa negeri, kerusi MB dianggap 'panas' selain kerusi di Perak. Bagaimana Datuk Seri melihat kedudukan kerusi-kerusi ini selepas krisis di Perak?

Kalau kita masih lagi berpendirian seperti sebelum ini iaitu kerusi itu amat penting untuk perjuangan parti kita, dengan jadi Menteri Besar kita akan mendapat tiket ekspres hendak masuk syurga, maka buatlah... berebutlah.

Tetapi saya berpandangan, sebenarnya tiket dapat jadi MB ini adalah tiket nak masuk neraka lebih cepat? Ya. Terlalu banyak dugaan, cabaran dan tanggungjawab besar yang bukan mudah untuk semua orang pikul. Ia bukanlah mudah.

Jawatan bukan satu perkara yang menjadi ultimatum, bukan sesuatu benda yang kita mesti kejar. Ini yang pemimpin-pemimpin kecil macam saya kena faham.

Kalau kita ingat, sekiranya kita berpegang prinsip tidak jadi MB, baik tidak payah jadi orang politik, itu tidak betul. Kita mesti terus memberi perkhidmatan dalam apa jua kapasiti. Sebagai ahli biasa pun kita masih boleh berbakti dan buat pahala jika ia boleh bawa kita ke syurga.

Bagaimana Datuk Seri melihat krisis di Perak akan mempengaruhi proses perbincangan pembahagian kerusi pilihan raya yang sedang giat dijalankan antara Bersatu, UMNO dan Pas di peringkat Pusat?

Itu yang saya sebutkan dalam kaedah pemasaran. Kita mesti membezakan antara keperluan dan kehendak. Kalau ikut kehendak parti, kita hendak semua kerusi.

Tetapi dari segi keperluan, kita faham keperluan mentadbir kerajaan. Kita perlu mencukupkan bilangan kerusi untuk menubuhkan kerajaan. Jadi, itu keperluan.

Jadi untuk memenuhi keperluan itu, parti-parti seperti UMNO, Pas dan Bersatu perlu bergabung. Kita nampak sekiranya usaha ini dapat dilakukan dengan ikhlas, kita dapat tubuhkan kerajaan yang kukuh. InsyaALLAH dalam pilihan raya akan datang, kita akan dapat sokongan majoriti dua pertiga.

Itu keperluan, kita perlu pentingkan keperluan daripada kehendak. Kalau Bersatu bertanding di semua kerusi sekalipun, adakah kita akan berjaya? Tidak. Jadi kita perlu memikirkan kekuatan secara bersama, sebagai satu coalition yang dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil. Itu lebih penting.

Jadi, semua orang mesti tahu bila masa hendak berkorban. Bila masa hendak menerima, perlulah memberi. Itu caranya untuk semua jadi elok.

Selepas Datuk Seri terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besar Perak, adakah Datuk Seri pernah mengambil masa bersendirian mengenangkan apa yang telah berlaku?

Tidaklah sampai titis air mata, itu tiada. Saya sentiasa fikir bagaimana hendak mengubah satu-satu perkara menimbulkan negatif kepada positif. Itu yang saya cuba fikirkan.

Bagaimana hendak membuatkan perkara negatif berlaku kepada saya menjadi positif kepada kalangan rakyat.

Apa yang perlu saya buat untuk memberikan satu mesej kepada rakyat bahawa ini yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin yang mereka harapkan. Itu yang saya cuba buat, lakukan sebaik mungkin.

Mungkin Datuk Seri boleh ulas sedikit usaha keras dilakukan kerajaan negeri dalam mempromosi sektor pelancongan di Perak dan melaksanakan transformasi menambah baik kualiti perkhidmatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada rakyat sebelum ini.

Selain daripada usaha-usaha kerajaan saya melakukan proses pemutihan tanah dan sebagainya, kita juga melihat bahawa industri pelancongan adalah amat penting dan menjana ekonomi kepada rakyat dengan begitu banyak.

Jadi, dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita memberi fokus kepada memperkenalkan kawasan-kawasan menarik di sekitar Perak.

Kita harapkan selepas selesai masalah PKP, orang akan ingat Perak bila pergi bercuti. Banyak juga kejayaan kita capai selain daripada memberi latihan-latihan kepada pemain industri pelancongan.

Di dalam pentadbiran saya, saya juga melihat bahawa masalah GLC-GLC dan perbadanan negeri yang mempunyai bidang tugasan bertindih sesama mereka berjaya diselesaikan.

Contohnya, syarikat Perbadanan Menteri Besar (MB Incorporation) melaksanakan aktiviti perlombongan sumber mineral. Tetapi Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPNP) yang menjumpai sumber mineral di kawasan projek pertanian mereka, juga mahu melakukan aktiviti perlombongan. Jadi fungsi akan bertindih dan tidak tertumpu.

Justeru, saya mengambil tindakan bagi mengembalikan fokus hakiki mereka. Jadi ini antara kejayaan yang saya kira boleh dibanggakan yang berjaya kami buat dalam masa yang singkat.

Selepas apa yang berlaku, sekiranya kepimpinan Bersatu memutuskan untuk Datuk Seri dilantik sebagai menteri Kabinet di peringkat Pusat, mengambil kira Datuk Seri juga merupakan Timbalan Presiden parti itu, adakah Datuk Seri sedia menerimanya?

Sebagai seorang ahli parti, saya akan sentiasa menurut perintah daripada parti. Presiden parti saya adalah Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Kalau beliau mengarahkan saya untuk mengambil satu-satu jawatan, saya akan terima perkara itu sebagai satu arahan dan akan cuba lakukan dengan sebaik mungkin.

Ahmad Faizal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Perak sejak 2018.
Ahmad Faizal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Perak sejak 2018.

Apa selepas ini kepada saya adalah amat tidak penting. Tetapi kalau saya ditakdirkan jadi menteri kanan, saya ada sebut mengenai ‘Seri Satria’... itu hanya bergurau.

Tetapi saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan menerangkan kepada beliau tentang hasrat saya untuk bekerja kuat bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Saya berhasrat untuk pergi ke setiap negeri untuk melihat persiapan jentera parti di setiap bahagian dan juga semua negeri.

Jadi itu fokus saya hari ini.

Penyatuan ketiga-tiga parti Melayu diakui formula mujarab untuk menang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU akan datang. Apakah pendapat Datuk Seri?

Jangan gaduhlah. Kalau orang itu calon daripada Bersatu yang pernah bertanding pada pilihan raya umum (PRU) lepas dan menang, seperti saya di Parlimen Tambun, kerusi itu milik dia.

Kalau bergaduh, Pas letak calon, UMNO letak calon, Bersatu letak calon, PKR letak calon... maka kebarangkalian lebih besar calon PKR boleh menang.

Jadi apa gunanya kita bergaduh dan akhirnya orang lain menang? Ini (semua orang) kena bagi faham betul-betul dahulu. Hendak menerima, kita mesti tahu untuk memberi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!