RoS tiada sebab halang Muda Malaysia jadi parti politik

Amir Abd Hadi
Amir Abd Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Salah seorang pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Amir Abd Hadi menyatakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak mempunyai sebab untuk menghalang parti itu menjadi parti politik yang sah.

Menurutnya, ia merupakan hak setiap warganegara di negara ini untuk membuat parti politik.

“Asalkan kami ikut saluran undang-undang yang betul, tidak ada apa-apa sebab untuk halang Muda Malaysia dari menjadi parti politik yang sah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga salah seorang pengasas Muda Malaysia menyatakan parti itu melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mewakili mereka bagi mendapatkan kelulusan RoS.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, ia berikutan tiada sebarang kelulusan diberikan RoS kepada pihaknya.

Mengulas lanjut, Amir turut mempersoalkan mengapa pendaftaran Perikatan Nasional (PN) boleh diluluskan dalam masa tiga hari, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa 30 hari sebelum ini.

“Kenapa Muda Malaysia belum ada apa-apa berita selepas lebih tiga bulan? Dulu boleh, kenapa sekarang tak boleh?” soalnya.

Amir dalam masa yang sama menyatakan bahawa menerusi media sosial, satu tanda pagar #BilaNakLulus sentiasa ada setiap hari.

Artikel Berkaitan:

“Di peringkat akar umbi, lebih 1,000 petisyen menggesa RoS meluluskan Muda Malaysia hanya pada hujung minggu lepas sahaja,” katanya.