Ibrahim dilantik Pesuruhjaya Sukan baharu

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan Malaysia (KBS) mengumumkan pelantikan Ibrahim Mohd Yusof sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baharu, berkuat kuasa hari ini sehingga 20 Disember 2022.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan, Ibrahim pernah berkhidmat di kementerian berkenaan dengan jawatan terakhir sebagai Setiausaha Bahagian (Dasar dan Perancangan Strategik) dan terlibat secara langsung dengan Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2018 (Akta A 1570).

Selain itu, Ibrahim turut terlibat dalam penggubalan dasar sukan termasuk penyediaan Pelan Strategik KBS dan Kertas Strategik KBS bagi Rancangan Malaysia ke-12.

“KBS yakin dan percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti, dimiliki oleh beliau akan dapat memperkasa tadbir urus Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan seterusnya memacu kecemerlangan dalam pembangunan sukan negara.

“KBS juga berharap agar semua persatuan sukan dapat memberikan kerjasama,” kata kenyataan itu.

Ibrahim yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Maklumat dan Sarjana Muda Statistik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan, khasnya dalam perancangan dasar dan pembangunan sukan.

Beliau memulakan karier dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1997 dan memegang pelbagai jawatan, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan. - Bernama

Artikel Berkaitan: