Pilih pesawat paling sesuai

A
A
A

SELAGI belum dimuktamadkan, bermakna cadangan perolehan 36 buah pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) tidak akan mengubah situasi dihadapi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika ini iaitu kekurangan aset untuk mengawasi ruang angkasa negara.

Pemilihan pesawat ini pula hanya diketahui pada tahun hadapan setelah kerajaan memutuskan jenis dan negara pengeluar yang terpilih yang dianggarkan bernilai RM2 bilion menerusi peruntukan pendaftaran projek baharu tahun 2021.

Pesawat dijangka memasuki perkhidmatan TUDM dalam tempoh tiga tahun setelah pembelian dimeterai.

Selepas khidmat pesawat superioriti MiG-29N ditamatkan, keupayaan TUDM dilihat tidak seimbang berikutan program penggantian Fulcrum ditangguh.

Bukan sahaja pesawat tempur, malah pengoperasian pesawat latihan juga perlu diberikan tumpuan oleh TUDM berikutan pesawat Aermacchi MB339CM tidak lagi sesuai manakala jangka hayat pesawat Hawk pula hanya lapan tahun lagi.

Kekurangan pesawat latihan pasti menjejaskan program melatih juruterbang baharu di mana kesannya boleh merencatkan kemampuan sumber tenaga barisan hadapan TUDM.

Walaupun tiada perincian lanjut, tetapi kebarangkalian perolehan pada fasa pertama nanti melibatkan 12 buah pesawat bagi versi LCA dan bakinya adalah FLIT.

Ini kerana TUDM memerlukan sebuah pesawat tunggal yang memilik dwifungsi bagi operasi tempur dan latihan.

Artikel Berkaitan:

Perolehan seterusnya bagi 18 buah lagi pesawat akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melengkapkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) untuk mengoperasikan sekurang-kurangnya tiga buah skuadron.

Pesawat platform tunggal dwi-fungsi ini perlu memiliki keupayaan yang seimbang dalam melaksanakan peranan untuk melatih juruterbang pesawat pejuang generasi hadapan dan pelbagai misi operasi.

Walaupun Malaysia merupakan pengeluar utama minyak sawit, namun andaian sesetengah pihak bahawa negara mampu membiayai pembelian kelengkapan pertahanan bersandarkan pada pertukaran komoditi ini tidaklah tepat.

Pembelian Sukhoi SU-30MKM pada tahun 2003 misalnya dibayar menggunakan mata wang Dolar Amerika Syarikat dan bukan pertukaran bahan mentah.

Beberapa pesawat LCA/FLIT disebut-sebut menjadi pilihan TUDM tetapi faktor paling penting bukanlah terletak kepada kecanggihan, kebolehan dan pengeluar, sebaliknya kemampuan poket negara untuk membiayai kos pemilikannya.

Ini termasuk mengambil kira keupayaan sumber tenaga sama ada dilakukan oleh TUDM atau melantik pihak ketiga untuk menyelenggara, membaiki dan rombak rawat pada harga mampu tanggung.

Langkah kerajaan terdahulu mengumumkan rancangan penggantian MiG-29N dengan pesawat termoden pada tahun 2010 atas alasan tidak lagi ekonomi untuk dioperasikan sebenarnya sangat tidak bijak.

Disebabkan keterujaan untuk mencari pesawat pejuang pengganti, kerajaan masa itu dilihat mengabaikan keperluan untuk meningkat upaya MiG-29N sedangkan itu yang sepatutnya dilaksanakan.

Ini kerana, sekiranya program menaik taraf dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut sepertimana yang dicadangkan pihak pengeluar, MiG-29N yang mempunyai jangka hayat sehingga 4,000 jam penerbangan boleh beroperasi sehingga tahun 2035.

Polisi yang sering berubah-ubah menyebabkan pemilikan MiG-29N TUDM dilihat menjadi beban apabila kos senggaraan dan naik tarafnya semakin meningkat.

Selain itu, pertimbangan juga perlu bersandarkan kepada apakah keperluan dan corak operasi TUDM selain pola geostrategik serantau agar pesawat baharu itu nanti dapat digunakan secara optimum.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu