Lapan lagi kluster baharu Covid-19, enam berkaitan tempat kerja

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lapan lagi kluster baharu Covid-19 hari ini di tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Pulau Pinang serta tiga Wilayah Persekutuan; Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, bagi Kluster Pekapuri yang merupakan kluster tempat kerja di Selangor melibatkan daerah Gombak, dengan kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif pada hari ini melalui saringan bersasar di tempat kerja.

“Sehingga kini, sejumlah 769 individu telah disaring dan seramai 202 kes telah dikesan positif bagi kluster ini,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Batu Besar yang melibatkan daerah Klang di Selangor, kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif pada 18 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja.

“Sehingga hari ini, sejumlah 546 individu telah disaring dan seramai 59 kes dikesan positif,” katanya.

Bagi Kluster Tower, Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat dan Sepang di Selangor, daerah Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur serta daerah Temerloh di Pahang.

“Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif pada 17 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga hari ini, sejumlah 1,154 individu telah disaring dengan 20 kes dikesan positif,” katanya.

Mengenai Kluster Tapak Bina Pelangi, Dr Noor Hisham berkata, kluster tempat kerja itu melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur dan kes bagi kluster ini dilaporkan positif pada hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga hari ini, sejumlah 142 individu telah disaring dan daripada jumlah itu seramai 23 kes telah dikesan positif,” katanya.

Memperincikan mengenai Kluster J Bandar pula, Dr Noor Hisham berkata, ia melibatkan Labuan dengan kes dilaporkan positif pada 16 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja.

“Sehingga hari ini, sejumlah 84 individu telah disaring dan 25 kes telah dikesan positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster May Indah yang juga merupakan kluster tempat kerja di Pulau Pinang melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Dua kes pertama bagi kluster dilaporkan positif pada 10 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga hari ini sejumlah 132 individu telah disaring dengan 27 kes daripada jumlah itu dikesan positif,” katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Wawasan yang melibatkan daerah Petaling di Selangor, Lembah Pantai di Kuala Lumpur serta Putrajaya, kes dilaporkan positif pada 17 Disember melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, sejumlah 44 individu telah disaring dan enam kes dikesan positif.

Menurut Dr Noor Hisham, Kluster Delima yang melibatkan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta daerah Gombak dan Hulu Langat di Selangor, kes dilaporkan positif pada 14 Disember melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 51 individu telah disaring dan sebanyak sembilan kes telah dikesan positif,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 250 kluster termasuk enam kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Teja Kasih, Kluster Permatang, Kluster Kejora, Kluster Bayan, Kluster Numbak dan Kluster Danau. - Bernama