Pfizer buat permohonan pendaftaran kepada NPRA

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Syarikat pengeluar vaksin Pfizer, Pfizer dan BioNTech telah membuat permohonan pendaftaran vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah menerima permohonan tersebut pada 15 Disember lalu.

"NPRA telah mengenal pasti 11 pakar untuk melihat dokumen dan menilai laporan yang dimajukan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, sesi libat urus bersama koresponden dan syarikat berkenaan dijangka diadakan pada akhir bulan ini.

"Penilaian mungkin akan mengambil masa selama 90 hingga 120 hari," katanya.

Menurutnya, keutamaan KKM untuk melihat kepada keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut.

"Kita mempunyai lima tatacara kerja yang perlu dilalui iaitu pendaftaran, pembekalan, pemberian, pemantauan dan penilaian," katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian mengulas mengenai penilaian kerajaan selepas mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh Pfizer.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai hasrat Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyumbang 500,000 dos vaksin syarikat China kepada Malaysia, beliau berkata, pihak terbabit perlu melantik syarikat untuk membuat pendaftaran kepada NPRA.

"Sekarang hanya khabar angin dan bukannya pengesahan. Belum ada (laporan) yang dihantar ke NPRA," katanya.

Setakat ini, katanya, tiada percubaan klinikal fasa tiga dari China yang diterbitkan.

"Ia (vaksin yang akan didermakan) mungkin dari China. Kami sedang menunggu dokumen sama seperti yang telah dilakukan Pfizer," katanya.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas lima hari.

Antara agenda yang akan dibincangkan adalah berkenaan hasrat UAE untuk menyumbang sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 kepada Malaysia.