PKPD di Pusat Koreksional Jasin mulai esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan pusat itu, bermula esok (22 Disember 2020) sehingga 4 Januari depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan 771 orang, yang terdiri daripada 603 tahanan dan 168 kakitangan serta ahli keluarga.

“SOP (prosedur operasi standard) PKPD di pusat tahanan ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Ismail Sabri berkata. sehingga 19 Disember, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 1,251 ujian saringan termasuk saringan kedua serta ketiga dan daripada hasil ujian itu 133 kes didapati positif.

KKM, katanya, turut mengesahkan berlaku peningkatan secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa yang singkat dalam kalangan tahanan di pusat itu.

Sementara itu, memperincikan hasil operasi pasukan petugas pematuhan, seramai 239 individu lagi ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah itu 238 telah dikompaun dan seorang telah direman, katanya.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), tidak memakai pelitup muka (53), aktiviti pusat hiburan (49) dan lain-lain (4),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, melalui Op Benteng, 25 pendatang tanpa izin berjaya ditahan serta tiga kenderaan darat berjaya dirampas.

Bagi kuarantin wajib pula, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 89,787 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka ditempatkan di 75 hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Katanya, 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. - Bernama