Covid-19: 2,018 kes baharu, ketiga tertinggi sejak wabak landa negara

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Negara merekodkan kes harian baharu ketiga tertinggi sepanjang pandemik Covid-19 melanda Malaysia, iaitu sebanyak 2,018 kes dengan satu kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara kini mencecah 95,327 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan adalah 16,496 kes, manakala jumlah maut akibat pandemik itu setakat ini ialah 438 orang.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,011 kes," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, Selangor masih melaporkan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 1,204 kes dengan 1,115 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti Johor (278 kes) dan Sabah (247 kes).

Sementara itu, menurutnya, jumlah sembuh adalah 1,084 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 78,393 kes dan sehingga kini terdapat 109 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan pecahan kes mengikut negeri, Dr Noor Hisham berkata selain Selangor, Johor dan Sabah yang mencatat kes yang tinggi, Kuala Lumpur pula mencatat 127 kes; Negeri Sembilan (58); Labuan (29); Perak (21); Pulau Pinang (18); Pahang (12); dan Melaka (sembilan).

Selain itu, Kelantan mencatat enam kes, Putrajaya (lima), manakala Kedah (tiga) sementara Terengganu (satu).

Beliau turut memaklumkan, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus dengan 507 kes, Kluster Tembok Gajah (234 kes) dan Kluster Pekapuri (202 kes).

Artikel Berkaitan:

Satu-satunya kes kematian hari ini melibatkan seorang lelaki bukan warganegara yang berumur 50 tahun dan meninggal dunia di Hospital Tuaran, Sabah. - Bernama