Banjir di Pahang pulih

Laporan Sinar Harian semalam mengenai mangsa banjir di Jerantut.
Laporan Sinar Harian semalam mengenai mangsa banjir di Jerantut.
A
A
A

KUANTAN - Banjir di Pahang pulih selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Jerantut menamatkan operasi hari ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular ditutup pada jam 11.30 pagi selepas 25 mangsa daripada empat keluarga kembali ke rumah masing-masing manakala PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Teh, Jerantut yang menempatkan 13 mangsa daripada dua keluarga ditamatkan operasi pada jam 2.30 petang.

PPS Sungai Ular dibuka sejak Khamis lepas sebagai langkah berwaspada ekoran cuaca hujan berterusan memandangkan empat keluarga itu tinggal bersebelahan sungai dan dikhuatiri menyukarkan usaha menyelamat jika air naik pada waktu malam.

PPS Kuala Teh pula dibuka selepas rumah mangsa yang berada di kawasan rendah dinaiki air pada pagi semalam selepas hujan lebat mengakibatkan sungai berhampiran melimpah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan setakat jam 3.40 petang ini, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran berada di paras waspada manakala dua lagi sungai iaitu Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut dan Sungai Lepar, di sini di paras amaran.

Empat lagi sungai berada di paras berjaga iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; dan Sungai Belat serta Sungai Kuantan di sini. - Bernama

Artikel Berkaitan: