X

Kindly register in order to view this article
!

Naikkan semula tempoh pengawasan kepada 14 hari: Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menaikkan semula tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian pengembara yang pulang dari luar negara daripada 10 hari sebelum ini kepada 14 hari.

Menurutnya, ini selepas pengumuman United Kingdom (UK) memerintahkan rakyatnya duduk di rumah disebabkan situasi Covid-19 yang tidak terkawal di sana akibat penularan mutasi baru yang merebak dengan kadar 70 peratus lebih laju dan tindakan itu juga menyebabkan lebih 10 negara dalam dunia melarang pelawat dari negara berkenaan.

“Jelas dalam graf bahawa jumlah kes Covid-19 negara kita telah naik semula akibat kelonggaran-kelonggaran diberi kerajaan walaupun kes baru setiap hari tetap tinggi seperti tiada lagi sekatan rentas daerah atau negeri serta tiada lagi had bagi jumlah penumpang dalam kereta, meja makan di restoran dan tempoh operasi perniagaan.

“Akibatnya, ramai rakyat sudah marah setelah membina persepsi bahawa kerajaan PN sengaja membenarkan jumlah kes aktif Covid tetap tinggi supaya Pilihan Raya Umum (PRU) tidak boleh dilaksanakan dan ia lebih mudah untuk meminta darurat demi mengekalkan kuasa di Putrajaya.

“Kerajaan PN patut sedar perkara ini dan perlu menangkis persepsi ini dengan mengumumkan larangan bagi pelawat dari UK seperti negara-negara lain dalam dunia atau menaikkan semula tempoh kuarantin bagi pelawat negara asing dari negara-negara Eropah ke 14 hari. Beza empat hari saja bagi pelawat dari Eropah yang mampu menampung kos kuarantin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri UK, Boris Johnson mengumumkan perintah duduk di rumah di London dan tenggara England bermula pada Ahad bagi memperlahankan penularan wabak itu yang didakwa lebih mudah berjangkit.

Boris berkata, arahan di bawah peraturan baharu empat peringkat itu akan berkuat kuasa sehingga 30 Disember ini.

Pada 13 Disember lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat Covid-19 di Malaysia dikurangkan dari 14 hari kepada 10 hari.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan PN seharusnya mengambil tindakan segera bagi melihat mereka masih proaktif melawan Covid-19 dan menghalang mutasi baru berkenaan sampai ke Malaysia disebabkan kadar penularan wabak itu masih tinggi di negara ini.

“Kerajaan tidak boleh menaruh semua harapan pada vaksin sahaja sebab vaksin itu masih satu ketidaktentuan. Belum ada kepastian bahawa jumlah vaksin yang mencukupi akan diterima Malaysia pada jadual masa diingini,” tegasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!