Pas ambil tindakan betul dalam selesaikan isu saman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berpendapat Pas mengambil tindakan yang betul apabila menyelesaikan saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown pada masa ini.

Memetik laporan Malay Mail, Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan bahawa Pas bijak mengatur strategi dan langkah yang dibuat Pas ketika ini adalah sesuatu yang terbaik buat parti itu.

"Jika tanya saya, saya tidak akan terbang dari Kuala Lumpur ke London, berulang-alik untuk menghadiri kes mahkamah. Ia bukan murah untuk menghabiskan ratusan ribu, mungkin jutaan ringgit untuk menyelesaikan isu-isu kecil ini. Mungkin buat Pas bukan isu pun.

"Saya fikir Pas membuat strategi yang betul. Mereka mahu memfokuskan pada urusannya dan mereka mahu melangkah ke hadapan. Jika tidak mereka ditarik dan terikat dengan isu lama yang tidak lagi relevan dengan hala tuju parti itu sekarang," katanya pada wawancara bersama Malay Mail.

Pas sebelum ini menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Rewcastle-Brown pada April 2017 di London.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel ditulis Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Artikel lapan perenggan itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi Pas bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong Umno dan BN.

Bagaimanapun, saman itu ditarik balik awal bulan ini dan sebagai penyelesaian Rewcastle-Brown juga menarik balik tuntutan balas ke atas Abdul Hadi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menjawab isu ini menegaskan, Pas tidak ambil kisah dengan tuduhan mendakwa parti Islam itu menerima dana RM90 juta dari Umno yang masih kekal di laman web Sarawak Report.

Tegasnya, tuduhan dalam laporan tersebut masih lagi satu fitnah walau saman ke atas portal berkenaan diselesaikan.

Sementara itu, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berpuas hati dengan penyelesaian luar mahkamah dalam saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadapnya.

Biarpun begitu katanya, Clare sebenarnya berharap dapat bersemuka dengan pihak yang menyamannya di mahkamah.

Clare berkata, melalui penyelesaian itu juga, rencana yang disiarkan portal Sarawak Report mengenai Pas itu kekal dan tidak ditarik balik.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadi, Sarawak Report selesai kes saman luar mahkamah