MyPadiManager bantu pengurusan penanaman padi lebih efisien, sistematik

Aplikasi MyPadiManager boleh dimuat turun menerusi Appstore dan Google Playstore.
Aplikasi MyPadiManager boleh dimuat turun menerusi Appstore dan Google Playstore.
A
A
A

SERDANG - Kira-kira 200 petani telah menggunakan aplikasi mudah alih MyPadiManager yang dibangunkan Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), bagi pengurusan penanaman padi yang lebih efisien dan sistematik, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurutnya, aplikasi MyPadiManager itu menyenaraikan jadual aktiviti penanaman padi serta memberi mesej peringatan tentang tanaman kepada petani.

"Aplikasi ini akan memberikan gambaran prestasi hasil penanaman padi yang telah dilaksanakan serta membantu petani menetapkan sasaran bagi musim penanaman akan datang.

"Ia juga dapat meningkatkan kadar pematuhan aktiviti penanaman padi mengikut amalan terbaik bagi setiap varieti padi yang ditanam. Pengguna juga dapat menyemak aktiviti yang perlu dilaksanakan dengan lebih pantas dan tepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertanian Digital Kebangsaan (DigAc) 2020 di MARDI di sini pada Isnin.

MyPadiManager boleh dimuat turun menerusi Appstore dan Google Playstore.

Dalam pada itu, Kiandee berkata, MARDI telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam Malaysian Commercialization Year 2020 yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis lalu.

Teknologi Keropok Ikan Empat Segi dan Dulang Pengeringan telah dinobatkan pemenang utama Anugerah Usahawan Sosial dan teknologi baja RealStrong N Bio Booster mendapat hadiah sagu hati bagi Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan.

“Ini membuktikan hasil penyelidikan MARDI amat bertepatan dan inovasi MARDI digunakan secara meluas oleh golongan sasar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai DigAc 2020 yang berlangsung secara dalam talian selama tiga hari bermula hari ini, Kiandee berkata, sektor pertanian negara perlu lebih agresif untuk mendalami pengetahuan dalam teknologi pertanian digital.

Pada masa hadapan, katanya 70 peratus pengeluaran makanan sangat bergantung kepada inovasi teknologi yang lebih moden.

“Bidang pertanian digital memberi galakan kepada generasi muda untuk terlibat dalam industri pertanian dengan amalan pertanian pintar,” katanya. - Bernama