Penjawat awam rugi RM21,000 terperdaya 'pelaburan patut syariah'

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam kerugian lebih kurang RM21,000 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pelaburan dalam talian patuh syariah kononnya memberikan pulangan lumayan.

Lelaki berusia 40-an itu membuat laporan polis pada 17 Disember lalu di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tumpat selepas menyedari tertipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa mendapat maklumat mengenai tawaran pelaburan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan pakej pelaburan Forex patuh syariah pada awal bulan ini.

Katanya, menerusi tawaran itu, mangsa akan dibayar keuntungan atau komisen setiap dua hari hasil pelaburan yang dibuat.

"Mangsa tertarik dengan tawaran tersebut, mengambil keputusan untuk menyertai pakej pelaburan AS$1,000 dengan pulangan yang dijanjikan sehingga RM12,000 sebulan.

"Mangsa kemudian membuat transaksi pindahan wang berjumlah RM4,300 (nilai tukaran mata wang kepada dolar) kepada satu akaun bank milik perniagaan dikatakan mengendalikan skim pelaburan Forex tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa hari kemudian mangsa telah dihubungi oleh suspek lain mengatakan pelaburannya sudah mendapat keuntungan dan meminta bayaran dibuat bagi mendapatkan wang tersebut.

Katanya, dalam empoh dua minggu mangsa sudah melakukan 40 transaksi bayaran kepada enam akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih tidak menerima sebarang pulangan atau wang keuntungan hasil daripada pelaburan Forex patuh syariah yang disertainya.

"Mangsa yang tidak puas hati membuat laporan polis setelah mengalami kerugian lebih kurang RM21,000 dan mengesyaki dirinya telah ditipu dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud," katanya.

Menurut Mohd Azizul, kes penipuan pelaburan dalam talian didapati semakin kerap dilaporkan di Kontinjen Kelantan pada tahun ini.

Katanya, selain pelaburan Forex atau pertukaran mata wang asing, penjenayah pelaburan dalam talian juga berselindung di sebalik pelaburan yang tidak wujud seperti emas, pasaran modal dan mata wang kripto untuk memperdaya mangsa.

"Oleh yang demikian, orang ramai diseru supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dengan penipuan pelaburan dalam talian supaya tidak menjadi mangsa.

"Orang ramai boleh memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar 'Check Scammers CCID' untuk membuat semakan nombor akaun dan telefon yang digunakan sama ada pernah terlibat dengan kes-kes jenayah komersil," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.