Cuepacs bantah tindakan disiplin petugas KKM gagal patuhi SOP

ADNAN MAT
ADNAN MAT
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah cadangan tindakan disiplin Kementerian Kesihatan (KKM) kepada petugas kesihatan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata, tindakan itu seolah-olah menggambarkan petugas kesihatan di hospital tidak mematuhi SOP hingga menjadi antara faktor berlakunya peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Katanya, cadangan untuk mengenakan tindakan disiplin adalah tidak wajar memandangkan petugas kesihatan sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak berkenaan dikesan di Malaysia.

“Seperti rakyat lain, petugas KKM ini juga tidak mahu dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Mereka bukan sahaja dibekukan cuti sejak awal tahun lalu, bahkan telah bekerja melebihi daripada 12 jam sehari, tidak dapat bertemu dengan keluarga serta bekerja dengan pelbagai kekangan semata-mata mahu memastikan keselamatan rakyat.

“Sewajarnya kita melihat punca penularan jangkitan Covid-19 di hospital dalam konteks yang lebih luas lagi dan tidak terus membuat sebarang kenyataan berbentuk hukuman kepada pihak lain tanpa mengetahui situasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pakar kesihatan awam sebuah universiti tempatan yang mahu KKM menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah kejadian jangkitan Covid-19 di kawasan hospital.

Adnan bagaimanapun berkata, Ceupacs bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM ditekankan untuk memastikan jangkitan Covid-19 di fasiliti kesihatan dapat dielakkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jangkitan tidak bergejala yang mungkin dibawa pesakit mendedahkan lagi petugas KKM kepada risiko jangkitan lebih tinggi memandangkan mutasi virus semakin agresif dan mudah berjangkit.

Artikel Berkaitan:

“Ada pengunjung yang hadir ke hospital tidak mematuhi SOP dengan sebaik-baiknya terutama mereka mempunyai gejala. Jangkitan diterima petugas kesihatan juga kebanyakan daripada orang awam mendapatkan rawatan.

“Faktor ini tiada kena-mengena dengan keengganan petugas kesihatan mematuhi SOP keselamatan di hospital mereka bertugas,” katanya.

Ujar beliau lagi, faktor tempat kerja yang sempit di lapangan menyukarkan kakitangan kesihatan mengamalkan penjarakkan fizikal.

“Penggiliran kerja atau bekerja dari rumah (WFH) tidak dapat dijalankan oleh petugas kesihatan KKM kerana bilangan staf yang tidak mencukupi untuk merawat pesakit bagi kes Covid-19 dan lain-lain kes.

“Ada juga petugas kesihatan kehilangan fokus semasa bertugas disebabkan tekanan dan bebanan kerja yang sangat tinggi. Faktor ini perlu diberi pertimbangan sekiranya kita mempersoalkan isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas kesihatan.

“Ada juga fasiliti kesihatan yang tidak menerima peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi atau bekalan yang dihantar lewat sehingga mendedahkan petugas kesihatan ini dengan risiko jangkitan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Cuepacs berharap semua pihak tidak saling menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada organisasi tertentu.

“Apa yang lebih baik adalah sama-sama kita membendung penularan wabak ini, tidak alpa walaupun diberi kelonggaran dan sentiasa mengamalkan norma hidup baharu,” katanya.

“Cuepacs juga berharap pemantauan melalui Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di KKM untuk menjalankan penilaian risiko di setiap fasiliti kesihatan, termasuk pejabat kesihatan supaya dapat dilakukan penambahbaikan di lapangan,” katanya.