Projek burung walit Lembah Pergau akan dikembangkan

Mohd Saripudin (empat dari kanan) meluangkan masa selama satu jam meninjau rumah burung walit yang terletak di kawasan Lembah Pergau di Jeli pada Isnin.
Mohd Saripudin (empat dari kanan) meluangkan masa selama satu jam meninjau rumah burung walit yang terletak di kawasan Lembah Pergau di Jeli pada Isnin.
A
A
A

JELI - Kerajaan negeri Kelantan yakin projek sarang burung walit di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembah Pergau dapat dikembangkan dan diperluaskan lagi untuk tahun hadapan.

Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya optimis sekurang-kurangnya dua buah lagi rumah burung walit boleh dibangunkan di kawasan tersebut.

"Dengan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, kita akan cuba bangunkan lagi kawasan ini memandangkan ia sudah berpotensi untuk produk burung walit.

"Nama produk ini juga akan berkembang di seluruh negara. Kita jangkakan pada tahun 2021, kita boleh mulakan perbincangan dan persiapan untuk kembangkan projek dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu, Tuan Mohd Saripudin hadir menyampaikan pengagihan keuntungan projek tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM32,868 kepada peserta-peserta terlibat.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su dan Adun Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Mengulas lanjut, Saipuddin berkata, setiap peserta akan menerima agihan tunai berjumlah RM996 seorang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Saripudin (tiga dari kiri) menyampaikan pengagihan keuntungan projek burung walit kepada peserta yang terlibat dalam majlis di Jeli pada Isnin.
Mohd Saripudin (tiga dari kiri) menyampaikan pengagihan keuntungan projek burung walit kepada peserta yang terlibat dalam majlis di Jeli pada Isnin.

Pada tahun ini, katanya, ia merupakan kali kelima PPK Lembah Pergau mengagihkan keuntungan projek kepada pesertanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap projek seperti itu dapat diperluaskan lagi bagi membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan tersebut.

"Projek ini melibatkan seramai 33 orang peserta yang terpilih dari senarai eKasih dalam kalangan ahli Pertubuhan Peladang berkenaan. LPP memperuntukkan sebanyak RM313,500 kepada PPK Lembah Pergau untuk pembinaan rumah burung itu dan ia telah mula beroperasi sejak tahun 2013.

"Pihak kami menyokong penuh usaha ini kerana industri walit mempunyai potensi yang besar di kawasan Lembah Pergau. Ia dijangka akan terus berkembang dan boleh menjana ekonomi masyarakat setempat," katanya.

Untuk rekod, industri sarang burung walit merupakan antara projek berimpak tinggi yang mendapat permintaan tinggi daripada China.

Malaysia merupakan negara pengeksport kedua terbesar selepas Indonesia.

Nilai eksport sarang burung walit Malaysia dijangka meningkat kepada RM3 billion menjelang akhir tahun 2020.

Sementara itu, pada majlis sama, Mohd Saripudin turut menyampaikan Agihan Bantuan Khas Kit Makanan Asas yang disumbangkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaaan (Nafas) kepada 100 orang ahli PPK Lembah Pergau yang terkesan akibat Covid-19.