Pemilik restoran nafi pencetus Kluster PUI Sivagangga

Mohd Yusrizal (dua dari kanan) dan peguam plaintif, Mohammad Zunun Baihakky (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Cake pada sidang akhbar selepas defendan memfailkan pembelaan terhadap plantif di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.
Mohd Yusrizal (dua dari kanan) dan peguam plaintif, Mohammad Zunun Baihakky (dua dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Cake pada sidang akhbar selepas defendan memfailkan pembelaan terhadap plantif di Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh, Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, menafikan dirinya merupakan pencetus Kluster PUI Sivagangga dalam kes saman RM1.5 juta atas kerugian ditanggung penduduk dan peniaga di Napoh.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, defendan membuat penafian itu dalam notis pembelaan terhadap kes saman yang difailkan Cake mewakili 200 penduduk Napoh dan Megat Dewa menerusi Tetuan Burhan & Company.

"Defendan memfailkan pembelaan dengan menolak saman difailkan Cake bahawa dia tidak mengetahui kewujudan plaintif, dan plantif tidak memiliki local standi untuk menyaman pemilik restoran tersebut.

"Defendan memaklumkan bahawa dia tidak memiliki apa-apa pengetahuan berkaitan dengan kewujudan plaintif, sekali gus menafikan hak plantif untuk memulakan tindakan terhadap lelaki itu," katanya pada sidang akhbar selepas defendan memfailkan pembelaan terhadap plantif di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini pada Isnin.

Turut hadir, peguam plaintif, Mohammad Zunun Baihakky daripada Tetuan Zunun & Co.

Sementara itu, Mohd Yusrizal berkata, defendan turut mendakwa bahawa dirinya bukanlah pencetus kluster PUI Sivagangga dan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan bahawa dia tidak bersalah.

Beliau berkata, pihaknya melalui peguam Zunun & Co akan membalas pernyataan pembelaan dan permohonan mengetepikan kes kepada Mahkamah Tinggi dalam masa 14 hari.

Pada 29 November lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa Nezar diberi tempoh sebulan untuk memfailkan pembelaan terhadap kes saman RM1.5 juta dikemukakan Cake terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan kegagalan pemilik restoran nasi kandar itu memfailkan pembelaan pada tarikh ditetapkan mahkamah dan baru melantik peguam mewakilinya dalam kes tuntutan saman terbabit.

Sebelum ini, Cake mengemukakan tuntutan saman sebanyak RM1.5 juta terhadap Nezar mewakili pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah di mukim Napoh dan Megat Dewa yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim berkenaan.

Ia berikutan pelanggaran lelaki terbabit terhadap perintah kuarantin dikenakan ke atasnya selepas pulang dari India.