Bicara kes rasuah Guan Eng bermula Jun 2021

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 31 hari bermula Jun tahun depan bagi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang memohon agar kesemua kes yang dihadapi Guan Eng, 58, dibicarakan bersama.

“Terdapat satu kes dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. Saya mohon untuk dipindahkan ke mahkamah di sini untuk dibicarakan bersama-sama kes di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya membuat permohonan untuk kesemua kes dibicarakan bersama selaras dengan Seksyen 61 Akta SPRM kerana ia melibatkan tertuduh sama,” katanya pada prosiding sebutan kes tersebut pada Isnin.

Azura menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 29 Mac depan.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 80 hingga 90 orang saksi termasuk saksi formal dalam perbicaraan tersebut.

“Pihak kami juga telah menyerahkan lapan jilid dokumen kepada pihak pembelaan untuk diteliti sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo mengesahkan perkara itu dan memohon tarikh sebutan kes seterusnya ditetapkan pada bulan Mac tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang diberikan. Yang Berhormat (Guan Eng ) juga menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Butterworth dan kemungkinan akan ada tarikh lain ditetapkan nanti,” katanya.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memohon kehadiran tertuduh dikecualikan pada tarikh pengurusan kes akan datang.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan bagi kes di bawah Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM yang dibacakan semula jurubahasa terhadapnya hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley Cit, di sini pada Mac 2011, antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama