JAINJ kumpul bukti sahih status perkahwinan Illi Najwa

Tosrin (tengah) bersama wakil syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan di Kompleks Islam Iskandar Johor, Johor Bahru pada Isnin.
Tosrin (tengah) bersama wakil syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan di Kompleks Islam Iskandar Johor, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor ( JAINJ) masih mengumpul bukti sahih dan menjalankan siasatan secara teliti berhubung status perkahwinan wanita Malaysia, Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan kapten pasukan hoki negara India, Manpreet Singh Pawar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanti berkata, siasatan terperinci itu termasuk dakwaan wanita itu sudah melangsungkan pernikahan di negara ini terlebih dahulu sebelum ke India.

"JAINJ masih kumpulkan bukti sahih dan nyata selain laporan pengesahan daripada Kementerian Luar. JAINJ sudah berhubung dengan Kementerian Luar berhubung perkara ini.

"Siasatan perlu dilakukan secara berhati-hati dan teliti kerana melibatkan pelbagai aspek. Selepas laporan siasatan penuh siap, akan disembah maklum kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Selepas diperkenankan baginda, kenyataan media akan dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan di Pusat Islam Iskandar Johor di sini hari ini.

Tosrin Jarvanti
Tosrin Jarvanti

Ditanya sama ada keluarga Illi Najwa sudah dipanggil bagi membantu siasatan atau sebaliknya, Tosrin berkata, JAINJ masih belum memanggilnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu agama wanita kahwin pemain hoki India dalam siasatan

Artikel Berkaitan:

Wanita kahwini kapten hoki India masih beragama Islam: Senator

Tosrin turut meminta umat Islam di negeri ini supaya bersabar dan tidak menimbulkan tafsiran negatif terhadap isu perkahwinan pasangan terbabit kerana ia dalam siasatan JAINJ.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan bahawa kerajaan akan memanggil Illi Najwa bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama pasangan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, wanita tersebut akan dipanggil setelah pulang ke negara ini.

Terdahulu, beberapa portal melaporkan bahawa pasangan berkenaan pada asalnya dijadualkan berkahwin pada April lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19.

Illi Najwa dikatakan berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi bagi melangsungkan majlis perkahwinan di negara berkenaan.