25 projek 'sekolah sakit' perlu perhatian segera

Mohd Radzi meninjau kawasan tapak projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang telah terbengkalai sejak 2013. Foto Bernama
Mohd Radzi meninjau kawasan tapak projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang telah terbengkalai sejak 2013. Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Kira-kira 25 projek 'sekolah sakit' di seluruh negara perlu mendapat perhatian segera, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, ini bagi memastikan projek yang telah lama terbengkalai itu dapat disiapkan dan mengelak berlaku lebih banyak kerugian akibat kerosakan pada struktur binaan.

"Terdapat lebih kurang 25 projek sekolah sakit...kita akan lihat satu persatu dan bagi keutamaan kepada yang mana perlu diselesaikan dahulu serta akan susun supaya ianya (pembinaan) dapat dipercepatkan," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke tapak pembinaan sekolah terbengkalai di Sekolah Sukan Malaysia Perlis dekat sini hari ini.

Radzi berkata, kementerian akan memastikan setiap projek dapat disiapkan segera dalam tempoh ditetapkan dengan memilih kontraktor yang tepat dan cekap.

Mengulas mengenai pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai begitu lama sejak 2013, beliau berkata kontraktor baharu akan memulakan pembinaan pada Januari tahun hadapan dan dijangka siap selama 24 bulan seperti yang dijadualkan.

"Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk menyiapkan fasa satu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM41 juta.

"Kita akan pantau projek ini secara dekat bagi memastikan bahawa apa yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi dan Sekolah Sukan Malaysia Perlis ini dapat disiapkan," katanya.

Projek yang dijangka siap pada Jan 2023 itu boleh menampung kapasiti 600 hingga 700 murid di atas tanah seluas 25.50 hektar. - Bernama

Artikel Berkaitan: