Ku Nan dipenjara setahun, denda RM2 juta

Tengku Adnan didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB, empat tahun lepas. - Foto Bernama
Tengku Adnan didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB, empat tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dihukum penjara setahun dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta.

Mahkamah turut memerintahkan Tengku Adnan dipenjarakan enam bulan jika gagal membayar denda.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan selesai membuat mitigasi bagi meringankan hukuman terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman penjara dan denda itu ditangguh sehingga menunggu rayuan.

Pagi tadi, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan Tengku Adnan bersalah atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta.

Mengikut pertuduhan, Ku Nan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta.

Wang itu daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Bendahari UMNO itu didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.